KEMAMAN – Gara-gara terlalu takut dikenakan tindakan undang-undang kerana kononnya terlibat dengan sindiket keldai akaun, seorang jurutera kerugian RM114,000 sekelip mata akibat diperdaya sindiket penipuan atau scammer.
Lelaki berusia 31 tahun yang menyedari tertipu telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Razi Rosli berkata, pada mulanya, mangsa telah dihubungi individu mendakwa kononnnya pegawai Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Polis Diraja Malaysia.
“Suspek mendakwa mangsa kononnya disyaki terlibat dalam sindiket keldai akaun. Mangsa diarahkan membayar bagi mengelakkan tindakan perundangan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Mohd. Razi berkata, bimbang dengan dakwaan itu, jurutera terbabit telah melakukan lima transaksi pindahan wang berjumlah keseluruhan RM114,000 menerusi empat akaun bank yang diberikan suspek antara 6 hingga 7 Jun lalu. – KOSMO! ONLINE














