KUALA TERENGGANU – Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh Terengganu diarahkan untuk melakukan pemantauan dan penguatkuasaan larangan jualan produk rokok elektronik atau vape dengan bantuan agensi penguatkuasaan lain.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, buat masa ini, dasar baharu itu dipatuhi semua pemain industri setakat tiga hari pelaksanaannya bermula Jumaat lalu.
“Kerajaan Negeri Terengganu komited memastikan pelaksanaan larangan ini tidak hanya bersifat simbolik tetapi benar-benar memberi kesan positif kepada kesihatan awam.
“Semua PBT di seluruh negeri ini telah diarahkan melakukan pemantauan dan penguatkuasaan larangan dengan bantuan agensi penguatkuasaan lain,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Pada 23 April lalu, Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) Terengganu telah meluluskan larangan penuh penjualan produk vape di semua premis perniagaan di negeri itu berkuat kuasa 1 Ogos lalu.
Beliau berkata, kerjasama dan kesedaran rakyat amat penting untuk menjayakan dasar pengharaman penjualan produk vape ini.
Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Jusman Ibrahim berkata, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) telah mengeluarkan notis peringatan agar semua pengusaha vape menghentikan urus niaga berkaitan produk tersebut serta-merta mulai Jumaat lalu.
“Tindakan kompaun mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976 boleh dikenakan terhadap peniaga yang masih berdegil,” katanya.
Di Kangar, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Affendi Rajini Kanth berkata, berdasarkan arahan dikeluarkan kerajaan negeri, tiada sebarang penangguhan diberi terhadap pelaksanaan itu dan semua pengusaha vape terlibat perlu menghentikan operasi perniagaan mereka seperti dimaklumkan sebelum ini.
Menurut beliau, MMKN baru-baru ini juga dimaklumkan mengenai terdapat rayuan daripada pihak pengusaha agar pelaksanaan itu ditangguhkan, namun permohonan tersebut tidak dibenarkan dan akan diteruskan mengikut perancangan.
“Oleh itu, jualan vape tidak lagi dibenarkan memandangkan fasa hebahan atau pemakluman yang bermula sejak 18 Julai lalu telah tamat,” katanya.
Mengulas lanjut, Affendi berkata, menerusi semakan dilakukan oleh MPK, hanya terdapat tiga pengusaha yang menjalankan operasi kedai vape di negeri ini.
“Kebanyakan pengusaha lain di negeri ini pula mendaftarkan perniagaan mereka sebagai kedai elektronik dan jualan vape itu pula hanyalah sebagai tambahan.
“Jadi bagi kes sebegini, peniaga terlibat masih boleh beroperasi menjual peralatan eletronik seperti biasa, namun mereka tidak dibenarkan memasarkan vape,” katanya. -KOSMO! ONLINE
















