JOHOR BAHRU – Persatuan Bersatu Hak Pengguna Negeri Johor mencadangkan agar pihak kerajaan menubuhkan satu badan khas yang dianggotai badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk memantau barangan bersubsidi di seluruh negara.
Pengerusinya, Abdul Rahman Kunju Mohamed berkata, pasukan pemantau ini haruslah dianggotai oleh ahli jawatan kuasa persatuan NGO kepenggunaan dari seluruh negara.
“Pasukan pemantuan ini terdiri dalam kalangan ahli berkecuali seperti persatuan pengguna dan bukan hanya dalam kalangan orang berkepentingan seperti ahli politik.
“Seperti mana yang ada sekarang, Biro Pemantauan Harga diwujudkan terdiri daripada ahli-ahli politik yang sehingga kini mungkin tidak begitu faham akan tugasan mereka terutama melibatkan hak-hak sebenar pengguna,”katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini baru-baru ini.
Abdul Rahman berkata, persatuan pengguna turut mencadangkan agar pihak berkuasa khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menempatkan pasukan penguat kuasa di stesen minyak.
Katanya, pasukan ini dicadangkan berpakaian preman atau memakai baju seperti orang awam untuk memantau operasi perniagaan di stesen minyak yang menjadi tumpuan warga asing.
“Kalau boleh mereka (anggota penguat kuasa) membuat pemantauan pada waktu puncak dan jika ada berlaku ketirisan seperti kenderaan asing isi minyak petrol bersubsidi, terus ambil tindakan undang-undang.
“Undang-undang sedia ada perlulah diperkuatkan, pelaksanaan dimaksimumkan bukan sekadar bila isu tengah hangat diperkatakan, baru nak bertindak,” katanya.















