fbpx
Peguam yang mewakili keluarga Zara Qairina memohon individu berkenaan menyalurkan maklumat kepada polis bagi tujuan siasatan.

Hentikan spekulasi, ibu Zara Qairina tertekan, sedih – Peguam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Hantaran video mendakwa pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir dimasukkan ke dalam mesin basuh adalah spekulasi semata-mata.

Perkara itu dimaklumkan dalam kenyataan bersama oleh peguam Hamid Ismail dan Shahlan Jufri yang mewakili Noraidah Lamat iaitu ibu kepada Zara Qairina.

Menurutnya, Noraidah tidak pernah memberi maklumat sedemikian kepada sesiapa dan memohon individu berkenaan menyalurkan maklumat itu kepada polis bagi tujuan siasatan.

“Penyebaran gambar kronologi yang menggambarkan Zara hanya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth 1 pada jam 8.00 pagi pada 16 Julai lalu juga satu spekulasi.

“Maklumat yang membentuk kronologi itu bukan datang dari anak guam kami,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, katanya, penyebaran gambar pelajar sekolah di platform media sosial dan membuat kenyataan yang negatif terhadap mereka adalah satu kesalahan jenayah di bawah seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001, dan seksyen 211 dan seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Tegasnya, penyebaran senarai nama pelajar-pelajar sekolah yang mengandungi maklumat peribadi juga adalah satu kesalahan jenayah di bawah seksyen 130 Akta Perlindungan Peribadi 2010 dan seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kami berharap penularan perkara-perkara di atas di semua platform media sosial dihentikan segera.

“Kami memohon agar pihak berkaitan memadam video dan gambar tersebut. Spekulasi hanya menambah tekanan dan kesedihan kepada anak guam kami,” jelasnya.

Allahyarhamah Zara Qairina, 13 yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah dilaporkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu selepas sehari menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.

Mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama kira-kira pukul 3 pagi dan mengalami kecederaan parah sebelum dibawa ke hospital oleh pihak sekolah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI