fbpx
Kon Yeow (dua dari kiri) menyaksikan pemeteraian perjanjian pembiayaan antara BPMB dan Hartasuma Ropeways Sdn. Bhd. di George Town, hari ini.

BPMB, Hartasuma meterai perjanjian RM367.2 juta projek kereta kabel Bukit Bendera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Bukit Bendera bakal berubah wajah sebagai destinasi pelancongan ikonik dengan pemeteraian perjanjian pembiayaan bernilai RM367.2 juta antara Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) dan Hartasuma Ropeways Sdn. Bhd. (Hartasuma Ropeways).

Pembiayaan itu merupakan langkah penting dalam merealisasikan projek transformasi kereta kabel yang dinanti-nantikan.

Pengarah Urusan Perbankan Korporat dan Pelaburan BPMB, Mohamed Nazri Omar berkata, ia sebahagian daripada komitmen bank untuk menyokong infrastruktur pelancongan mampan yang memberi impak sosial dan ekonomi jangka panjang.

“Dengan menjayakan projek kereta kabel Bukit Bendera, kami membantu memperkukuh kedudukan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia serta mencipta peluang bermakna untuk komuniti,” katanya ketika berucap dalam majlis menandatangani kemudahan pembiayaan di sini, hari ini.

Majlis itu turut menyaksikan komitmen jangka panjang Hartasuma Ropeways sebuah syarikat tujuan khas milik penuh Hartasuma Sdn. Bhd. dalam membangunkan, membiayai, mengoperasi dan menyelenggara sistem kereta kabel baharu yang dijangka siap menjelang awal 2027 sebagai pelengkap kepada perkhidmatan rel funikular sedia ada.

Menurut Mohamed Nazri, perjanjian itu juga merupakan inisiatif pembiayaan campuran pertama BPMB yang menggabungkan pembiayaan hutang dan pelaburan ekuiti menerusi BPMB Dana Sdn. Bhd. disokong oleh National Energy Transition Facility (NETF) di bawah Kementerian Ekonomi dalam usaha mempercepat peralihan negara ke arah ekonomi rendah karbon.

Katanya, melalui pelaburan ekuiti gabungan sehingga RM30 juta yang distrukturkan melalui Musharakah, struktur ini mencerminkan komitmen BPMB terhadap pembiayaan inovatif yang menggabungkan modal awam dan swasta.

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Hartasuma, Tan Sri Ravindran Menon menyifatkan projek tersebut sebagai legasi yang akan dikenang oleh generasi akan datang.

“Sistem kereta kabel ini direka untuk mengangkut sehingga 1,400 penumpang sejam bagi setiap arah dengan tempoh perjalanan sekitar 10 minit dari Taman Botani Pulau Pinang ke puncak Bukit Bendera. Ia memberi penyelesaian lebih efisien, indah dan mudah diakses terutamanya semasa waktu puncak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.Kon Yeow berkata, dengan jumlah penumpang funikular melebihi satu juta tahun ini serta kerja transformasi di astaka yang sedang berjalan, keperluan bagi projek kereta kabel baharu kini menjadi semakin mendesak.

“Kereta kabel bukan pengganti, tetapi pelengkap yang akan mengurangkan kesesakan serta memperkukuh kesiapsiagaan musim puncak.

“Fokus kepada kelestarian menjadi tunjang projek yang turut menjanjikan 400 peluang pekerjaan, latihan belia dan kemudahan mesra orang kelainan upaya, di samping penggunaan tenaga solar serta teknik pembinaan lestari yang mengekalkan ekosistem Bukit Bendera,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI