Semua inidividu berusia 18 tahun ke atas akan menikmati pemberian RM100 secara 'one off' bermula 31 Ogos ini. - Gambar hiasan.

Walaupun RM100, ia mampu rangsang ekonomi rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Pengumuman kerajaan untuk memberi bantuan secara one off kepada semua rakyat berusia 18 tahun ke atas tanpa mengira pendapatan yang akan dikreditkan bermula 31 Ogos ini bukan sahaja satu berita gembira kepada rakyat, malah boleh membuatkan para peniaga tersenyum lebar.

Pemberian melalui MyKad mulai 31 Ogos hingga 31 Disember 2025 itu akan membolehkan orang ramai berbelanja di lebih 4,100 premis runcit melibatkan lebih 90,000 barang keperluan dalam 14 kategori seperti beras, telur, ubat-ubatan termasuk keperluan sekolah.

Secara asasnya walaupun bantuan ini dianggap kecil oleh sesetengah pihak, namun impaknya terhadap ekonomi secara menyeluruh tidak wajar dipandang ringan kerana berupaya memberi kesan positif kepada ekonomi khususnya melibatkan perbelanjaan pengguna dan kitaran ekonomi domestik.

Paling tidak, bantuan ini akan meningkatkan kuasa beli rakyat walaupun dalam tempoh yang singkat kerana para penerima akan membelanjakan wang tersebut dalam tempoh empat bulan untuk membeli keperluan asas seperti makanan mahupun barangan rumah.

Ini secara langsung menyumbang kepada peningkatan permintaan dalam sektor runcit dan perkhidmatan harian, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi mikro.

Proses ini seterusnya akan membantu memacu kegiatan ekonomi dalam kalangan perniagaan kecil dan sederhana kerana apabila semakin ramai rakyat berbelanja di kedai runcit, peniaga pula akan mendapat hasil jualan yang boleh digunakan untuk membeli stok baharu atau menggaji pekerja tambahan.

Sudah tentu kita berharap sektor peruncitan ini kemudian akan dapat menambah lebih ramai pekerja baharu yang kelak sudah tentu pekerja-pekerja ini akan mendapat gaji yang akan membolehkan mereka turut berbelanja bagi memenuhi keperluan masing-masing.

Apabila semakin ramai rakyat mendapat pekerjaan, ia secara secara tidak langsung turut meningkatkan permintaan terhadap barang-barang keperluan dan lain-lain yang sekali gus berupaya membantu perniagaan kecil dan sederhana untuk terus berkembang bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Kita berharap proses ini tidak hanya berlaku di bandar-bandar besar, malah sebenarnya perlu turut melibatkan kawasan luar bandar. Perbelanjaan yang dilakukan penerima di kawasan ini juga boleh menggerakkan ekonomi tempatan secara lebih menyeluruh dan seimbang antara bandar dan luar bandar.

Namun begitu, walaupun bantuan secara ‘one off’ ini mungkin kelihatan seperti hanya mampu memberikan kesan sementara, namun kita tetap berharap dapat mencapai impak ekonomi dan sosial seperti apa yang diinginkan tanpa menjejaskan kedudukan kewangan negara.

Paling penting proses untuk merangsang ekonomi negara perlu difikir dan dilaksanakan secara berterusan dan bukan hanya dalam bentuk bantuan secara langsung, tetapi paling utama ialah memastikan lebih ramai rakyat mempunyai pekerjaan atau pendapatan yang stabil.

Akhirnya, kita sedar bahawa bantuan RM100 ini bukanlah penyelesaian jangka panjang terhadap isu kos sara hidup, tetapi ia merupakan satu langkah permulaan yang strategik untuk merangsang ekonomi rakyat dan negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN