KUALA LUMPUR – Hasrat Selangor Red Giants (SRG.OG) terus mencipta sejarah menjulang Piala Dunia e-Sukan (EWC) 2025 tidak kesampaian apabila terpaksa akur tewas 1-4 kepada gergasi Filipina, Team Liquid PH (TLPH) semalam.
Meskipun tewas di pentas akhir, SRG.OG tetap wajar diberikan pujian apabila mempamerkan semangat juang luar biasa sepanjang kejohanan di Riyadh, Arab Saudi itu.
Pengerusi SRG.OG, Simon Lim berbangga dengan perjalanan pasukannya selepas menempuh laluan berliku daripada permulaan goyah di peringkat kumpulan untuk menewaskan beberapa pasukan pilihan termasuk RRQ dan ONIC PH dalam laluan ke final.
“Saya amat berbangga kerana perjalanan kami di sini seperti roller coaster dan bukan mudah kerana saya sendiri ragu-ragu. Saya rasa kami layak ke playoff, lapan terbaik pun cukup baik pada mulanya.
“Namun, barisan pemain dan jurulatih membuktikan mereka mampu melawan segala rintangan untuk sampai ke peringkat grand final ini,” katanya.
Meskipun tewas, Simon tetap optimis dengan masa depan pasukannya dan percaya SRG.OG masih sebuah pasukan yang kuat dan akan kembali dengan lebih bertenaga. ”
“Kekalahan ini bukan kerana tidak kuat tetapi kita tewas kepada pasukan yang lebih baik. Pujian harus diberikan kepada TLPH. Saya tetap percaya kepada pasukan dan pemain, kami akan kembali lebih kuat,” katanya.
Bintang SRG.OG, Muhd. Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman atau Sekys, tetap bangga dengan pencapaian mereka walaupun gagal mempertahankan kejuaraan dunia tahun lalu.
“Meskipun kalah, saya tetap bersyukur kerana kami dapat berada di pentas akhir ini dua tahun berturut-turut. Perjalanan untuk sampai ke tahap ini bukan mudah,” katanya.
Sebagai rekod, SRG.OG selaku naib juara meraih ganjaran bernilai AS$500,000 (RM2.13 juta), manakala TLPH membawa pulang habuan lumayan berjumlah AS$1 juta (RM4.28 juta). – KOSMO! ONLINE