LUMUT – Kira-kira 40 peserta program Teluk Senangin Open Water Swim 2025 disengat ubur-ubur ketika berenang di pantai tersebut, pagi tadi.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak berkata, semua mangsa diberikan rawatan awal oleh petugas kesihatan, manakala dua peserta kanak-kanak berusia 9 dan 10 tahun dibawa ke Hospital Seri Manjung (HSM) untuk rawatan.
“Program bermula pada pukul 8 pagi bagi pelepasan kategori 9 hingga 10 tahun.
“Pada pukul 8.15 pagi, 30 hingga 40 peserta pergi ke pusat rawatan untuk menerima rawatan akibat terkena sengatan ubur-ubur. Dua peserta dibawa oleh Angkatan Pertahanan Awam ke HSM untuk rawatan lanjut,” katanya di sini, hari ini.
Difahamkan, Raja Kecil Besar, Raja Azlan Muzzaffar Shah yang turut menyertai acara tersebut antara mangsa yang disengat ubur-ubur di pantai berkenaan.
Sementara itu, jurucakap penganjur program tersebut berkata, sengatan ubur-ubur menjadi antara cabaran berenang di laut terutama di perairan tropika dan cabaran berkenaan merupakan suatu yang diketahui ramai.
Bagaimanapun, katanya, pihak penganjur peka dengan situasi itu dan memberikan bantuan kepada mangsa sengatan pagi tadi.
“Acara di laut lepas sentiasa hadir dengan pendedahan kepada hidupan laut. Kami komited dengan aspek keselamatan dan akan terus bekerja rapat dengan pihak berkuasa untuk memantau situasi tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE