fbpx
Askar Kemboja berdiri di atas trak yang membawa pelancar roket BM-21 di wilayah Oddar Meanchey pada 25 Julai lalu. - AFP

Rundingan damai Thai-Kemboja di Kuala Lumpur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANGKOK – Pemimpin Thailand dan Kemboja dijadualkan bertemu untuk rundingan damai hari ini, ketika pertikaian wilayah di sepanjang sempadan kedua-dua negara berlarutan pada hari kelima.

Sekurang-kurangnya 35 orang terbunuh dan lebih 200,000 lagi kehilangan tempat tinggal sejak Khamis lepas ketika kedua-dua negara bertempur untuk merebut beberapa kuil purba yang menjadi pertikaian.

Dalam usaha dimulakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dilaporkan akan bertemu pada pukul 3 petang (waktu tempatan) di Kuala Lumpur. 

China juga dijangka menghantar delegasi.

Namun, menjelang rundingan tersebut, Thailand dan Kemboja saling berbalas tembakan serta tuduhan.

Kemarin, Trump berkata, beliau membuat panggilan lewat malam kepada kedua-dua pemimpin, yang kemudiannya bersetuju untuk menyelesaikan gencatan senjata dengan segera.

Manet berkata, sidang kemuncak yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut disertai China selaku sekutu perdagangan dan politik utama.

“Tujuan mesyuarat ini adalah untuk mencapai gencatan senjata segera yang dimulakan oleh Trump dan dipersetujui oleh kedua-dua Perdana Menteri Kemboja serta Thailand,” kata Manet.

Setiausaha Negara AS, Marco Rubio berkata, pegawai AS berada di Malaysia untuk membantu usaha damai itu.

Sementara itu, Anwar memberitahu media tempatan bahawa beliau akan menumpukan perhatian untuk mendapatkan gencatan senjata segera. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI