PASIR PUTEH – Bermula sebagai pelukis mural selepas menamatkan pengajian dalam bidang Seni Lukis dan Seni Reka di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Mohamad Haris Hilmi Norhasram, 30, kini mencipta nama dalam dunia replika makanan.
Mohamad Haris yang merupakan anak jati Kampung Baru di sini menghasilkan replika makanan sejak tiga tahun lalu menggunakan bahan seperti air dry clay, cat akrilik dan epoxy resin bagi menghasilkan tekstur makanan dan kuah yang kelihatan seakan-akan asli.
Menurutnya, minat terhadap seni miniatur bermula secara tidak sengaja ketika dia ingin menghasilkan satu hiasan makanan unik sebagai hadiah.
“Namun siapa sangka, percubaan itu mendapat sambutan menggalakkan hingga saya berjaya menyiapkan lebih 500 replika makanan pelbagai jenis.
“Tempahan biasanya daripada pemilik restoran untuk dijadikan bahan pameran menu, selain individu yang mahukan replika sebagai hadiah kenangan,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad semalam.
Menurut Mohamad Haris, setakat ini, semangkuk replika mi tarik atau hidangan nasi ayam boleh mencecah harga antara RM80 hingga RM100 bergantung kepada perincian dan penelitian penghasilannya.
Mengulas mengenai proses pembuatannya, Mohamad Haris berkata, sebuah replika lazimnya mengambil masa dua minggu untuk disiapkan bergantung kepada tahap kesukaran dan jumlah pesanan.
“Clay perlu dibentuk, dijemur sehingga kering dan kemudian dilukis menggunakan berus halus. Ia satu bentuk seni halus yang memerlukan ketelitian dan kesabaran kerana setiap warna, bayang dan tekstur perlu disesuaikan agar nampak benar-benar realistik.
“Pelanggan akan hantar gambar makanan sebenar dan saya akan hasilkan semula dalam bentuk miniatur. Paling banyak saya pernah buat ialah 14 pinggan untuk satu tempahan,” katanya.
Tambahnya, walaupun sibuk dengan tempahan replika, dia masih aktif melukis dan menjual karya seni lukisan ketika menyertai acara atau pameran seni tempatan.
“Saya juga aktif mempromosikan karya di media sosial menerusi akaun TikTok @fakemimoi dan mendapat perhatian ramai kerana kelainan hasil kerja saya,” ujarnya.














