MUAR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak sikap pembangkang yang tidak berpuas hati dengan kerajaan menurunkan harga minyak RON95 kepada RM1.99 seliter.
Tegas Menteri Kewangan itu, tindakan pembangkang sedemikian menunjukkan sikap sebenar mereka tidak bersyukur dengan usaha kerajaan menurunkan sebanyak 6 sen sebagai usaha meringankan beban rakyat.
Katanya, penurunan harga petrol RON95 sebanyak enam sen kepada RM1.99 seliter bukan mudah kerana perlu mengambil kira implikasi kewangan kepada negara.
“Semalam ucap (Himpunan Turun Anwar), harga minyak naik tetapi dia (pembangkang) tidak tahu, tidak puas hati dengan harga minyak di negara ini.
“Pergi beli di Singapura yang lebih tinggi harganya. Begitu juga di Thailand dan Indonesia. Semuanya tinggi, jauh melambung daripada Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 di Dataran Tanjung Emas di sini hari ini.
Hadir sama ialah Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi serta Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar.
Dalam pada itu, Anwar turut mengutuk tindakan segelintir individu yang menuduh kerajaan tidak berhati perut terhadap warga asing yang perlu membayar harga lebih tinggi berbanding harga minyak RON95 yang dikenakan ke atas warga tempatan.
“Kita akan kenakan harga minyak RON95 kepada RM1.99 kepada semua warganegara. Orang asing warga Singapura, orang asing yang bekerja di Malaysia mereka perlu membayar harga pasaran.
“Ada individu kata apa PMX tak berhati perut nak minta orang asing bayar lebih, orang asing juga beri sumbangan kepada negara.
“Orang asing ini tak bayar cukai mana ada dalam negara di dunia beri hak yang sama dengan warganegara, tak ada,”katanya.
Pada 23 Julai, Anwar telah mengumumkan harga petrol RON95 akan turun lebih rendah iaitu RM1.99 seliter selepas penyasaran subsidi bahan bakar itu dilaksanakan kelak.
Menurutnya, langkah itu tentunya bakal memberi manfaat kepada sekitar 18 juta pemandu kereta dan penunggang motosikal termasuk belia seawal usia 16 tahun dan pekerja gig.-KOSMO! ONLINE