fbpx
Lokasi Adham meninggal dunia selepas lehernya terkena mata bilah sabit di Jalan Kampung Batu 4, Selabak, Teluk Intan Isnin lalu.

‘Mereka sudah biasa bawa bilah sabit tanpa sarung’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TELUK INTAN – Rata-rata penduduk mengakui tindakan pekerja ladang sawit warga asing membawa bilah sabit berhulu panjang tidak bersarung sambil menunggang motosikal di Selabak di sini merupakan satu perkara biasa.

Penduduk memberitahu, m­e­reka sering terserempak de­ngan pekerja Indonesia atau Bangladesh melakukan perbuatan itu terutama di Jalan Kampung Batu 4, lokasi iaitu lokasi kejadian yang meragut nyawa pelajar Kolej Vokasional (Pertanian) Teluk Intan, Adham Faisal, 18.

Mohd. Ibrahim Sani, 46, berkata, bilah sabit itu biasanya dibawa sekitar pukul 7 pagi, 12 tengah hari dan 2 petang sama ada menunggang bersendirian atau membonceng motosikal.

Katanya, perbuatan itu memang bahaya tetapi ia menjadi biasa kerana tidak berlaku insiden sebelum ini.

“Laluan itu belum pernah lagi berlaku kes maut akibat terkena bila sabit jadi ia sudah biasa de­ngan membawanya tanpa ditutup walaupun sebenarnya perbuatan itu berisiko,” katanya di sini semalam.

Semalam Kosmo! melaporkan Adham maut selepas lehernya terkena sabit berhulu panjang dibawa seorang lelaki warga ­asing ketika menunggang motosikal di Jalan Kampung Batu 4, Selabak di Teluk Intan pada Isnin lalu.

Susulan kejadian itu, dua lelaki warga asing berusia 39 dan 52 tahun direman tujuh hari.

Mohd. Shahrul Mohd. Isnain, 39, pula berkata, mereka memang bimbang setiap kali melihat pekerja ladang membawa sabit tersebut.

Dia berkata, pihak berkuasa perlu melakukan pemantauan dengan kerap bagi mengelakkan kejadian sama berulang kembali.

“Saya percaya kes kematian membabitkan kecuaian pekerja asing atau kealpaan pengusaha ladang sawit dapat dielakkan,” katanya.

Syamsul Azhar Mohd. Isa, 29, memberitahu, dia mendapati pekerja ladang warga asing tidak lagi membawa sabit menggunakan motosikal sejak hari kejadian.

“Saya tak nampak lagi mereka setakat ini, mungkin disebabkan oleh kelibat polis di kawasan kejadian jadi mereka takut. Bagaimanapun saya percaya tak mustahil pekerja ladang sawit akan kembali kepada rutin asal mereka bila semuanya sudah reda,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN