fbpx
PENULIS rakam gambar berlatar belakangkan Table Mountain, Cape Town, Afrika Selatan.

Memoir kembara solo di Cape Town

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUASANA Cape Town meriah dengan pelancong dan penduduk tempatan walaupun tengah hari, suhunya sekitar 20°C. 

Saya menempah bilik resort untuk empat malam melalui Agoda. 

Terletak di kawasan Woodstock, kira-kira 4 kilometer (km) dari pusat bandar, resort ini lengkap dengan sekuriti, kolam renang dan kafe. 

Bilik luas dengan dapur, hanya RM103 semalam. Kos Uber ke sini sekitar RM6 sahaja. 

Untuk menjelajah Cape Town, saya memilih perkhidmatan City Sightseeing Cape Town yang mudah dan menjimatkan. 

Ia meliputi banyak destinasi pelancongan utama melalui empat laluan berbeza termasuk pusat bandar, CampsBay, Table Mountain Cable Car Station, Groot Constantia Wine Estate, Kirstenbosch Botanical Garden, dan Hout Bay. 

Tiket tiga hari berharga RM125 termasuk Canal Cruise. Tiket boleh dibeli di V&A Waterfront, Long Street atau secara dalam talian. 

SENI bina moden dan kolonial bertemu dalam hiruk-pikuk kota.

Selain itu, syarikat ini turut menawarkan pakej ke Robben Island, Cape Point, serta lawatan wain ke kawasan Stellenbosch dan Franschhoek. 

Dalam tiga hari, saya berjaya melawat hampir semua tempat tersenarai. 

Saya cuba menaiki kereta kabel ke Table Mountain dua kali, tetapi ia ditutup kerana angin kencang.

Perkhidmatan Sunset Bus Tour pula sangat terhad, hanya bertolak dari V&A Waterfront sekitar pukul 5 petang dan beroperasi mengikut musim. 

Ia membawa pelancong ke Signal Hill untuk melihat matahari terbenam di Lautan Atlantik. 

Cape Town menawarkan banyak lagi tarikan lain seperti Whale Watching, Boulders Beach, Simon’s Town, Muizenberg Beach dan taman negara. Namun, masa empat hari tidak mencukupi untuk semuanya. 

Pemandangan Cape Town sangat memukau, dengan pantai berlatarbelakangkan Table Mountain yang juga merupakan salah satu daripada 7 keajaiban semulajadi dunia. 

Pantainya bersih, dikelilingi restoran, kebun anggur, taman botanikal, laluan bukit, muzium, terusan, dan pusat hiburan. 

PESISIR Camps Bay memikat dengan suasana santai serta laut membiru.

Angin kuat dan ombak besar menjadikannya lokasi popular untuk luncur ombak. Sebagai bekas pelabuhan penting sebelum pembinaan Terusan Suez, Cape Town mempunyai sejarah yang panjang. 

Penduduknya berbilang kaum yang terdiri daripada warga tempatan, Eropah, India dan Melayu.

Ia merupakan ibu kota perundangan Afrika Selatan, walaupun lebih kecil berbanding Johannesburg dan tidak mempunyai sistem metro. 

Dari segi keselamatan, Cape Town lebih baik berbanding Johannesburg. 

Ramai polis dan polis pelancong berkawal di kawasan tumpuan. Saya sering pulang lewat malam dari Long Street, waterfront dan Sea Point tanpa sebarang gangguan. 

Makanan halal mudah didapati di kawasan Cape Malay serta restoran Turki, Pakistan dan India. Harganya setanding dengan Malaysia. 

Waktu malam, suhu boleh turun sehingga 12°C, walaupun musim panas. Tunai, kad kredit dan Wise diterima di kebanyakan tempat. 

Saya menggunakan perantauan Digi tanpa masalah. Trip saya berakhir pada hari kelima dengan penerbangan Qatar Airways ke Singapura, transit semalam di Doha. 

Tiket sehala berharga RM2,240. Walaupun agak mahal tetapi satu-satunya pilihan terbaik untuk pulang dari Cape Town.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN