fbpx
CHEZ HAMDAN memilih untuk menjalani kehidupan sederhana termasuk menggunakan Perodua Kenari untuk urusan harian.

‘Dua kali saya mati hidup semula’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Semakin ramai rakyat Malaysia mula meng­ambil langkah drastik dalam menyesuaikan diri de­ngan cabaran ekonomi sema­sa apabila memilih untuk menjalani kehidupan sederhana atau mengikut trend ‘down­shifting’.

Antara langkah yang diambil termasuklah berpindah ke rumah lebih kecil, menjual kenderaan yang jarang digunakan sehinggalah beralih ke­pada penggunaan pengangkutan awam dalam urusan harian.

Menariknya, pendekatan ini dilihat bukan sahaja menji­matkan, malah membawa ketenangan dan menjadikan kehidupan lebih seimbang.

Berkongsi kepada KOSMO! AHAD, pendandan rambut popular, Halimi Hamdan atau lebih dikenali sebagai Chez Hamdan, 39, menyifatkan beliau seolah-olah dua kali ‘mati hidup semula’ berikutan berdepan dengan cabaran getir kewangan dalam tempoh 10 tahun lalu.

Chez berkata, dia kini mampu mengurangkan lebih 60 peratus komitmen bulanan yang mencecah RM30,000 selepas menjual beberapa kenderaan mewahnya seperti BMW X5, Mercedes C200, Vellfire dan motosikal jenama Ducati.

Bapa kepada dua anak lelaki berusia enam dan sembilan tahun ini berkata, dia juga kini le­bih selesa memandu Perodua Kenari terpakai yang dibeli dengan harga RM4,000 untuk melakukan tugas-tugas harian termasuk ke tempat kerja.

Menurut Chez, pandemik Co­vid-19 yang melanda pada tahun 2020 menjadi titik perubahan untuk dia merancang semula tentang komitmen keluarganya yang mencecah RM30,000 sebulan.

“Perniagaan salun rambut saya ketika itu tidak dapat bertahan susulan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan. Ketika itu saya fikir pakai kereta apa pun tak kisah, asalkan dapat bergerak.

“Tak tunggu lama, saya jual ‘harta’ yang membebankan terutamanya kereta dan motosikal,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di kediamannya di ibu negara baru-baru ini.

Chez berkata, beliau kini bebas ‘anxiety’ (kebimbangan) dan mampu tidur lena selepas menjual semua kenderaan mewahnya itu dan memilih gaya hidup yang lebih sederhana.

Selain itu Chez berkata, pe­ngalaman pasang surut dalam perniagaan membuatkan dia nekad mengekalkan gaya hidup sedemikian sehingga kini dengan sokongan isteri.

“Saya kecapi semua kemewahan ketika umur masih muda iaitu 28 tahun. Namun pengalaman pasang surut perniagaan membuatkan saya lebih berhati-hati membelanjakan wang.

“Sebelum ini, saya pernah raih lebih RM200,000 sebulan tapi kini saya sedar tiada jaminan angka itu berkekalan. Macam-macam boleh jadi sebab ‘hilang’ pekerja mahir pun boleh jejaskan pendapatan,” katanya.

Isteri beliau, Sharifah Haziah Akmar, 44, berkata, sebagai ‘saksi’ jatuh bangun suaminya itu, beliau dan suami ingin menggesa semua anak muda agar terlalu taksub dengan kehidupan mewah kerana kita tidak tahu apa yang bakal berlaku di masa hadapan.

“Kalau boleh memang saya dan suami nak beritahu semua belia jangan terlalu taksub nak nampak mewah sebab silap langkah buruk padahnya.

“Hati berteriak nak cakap dekat semua (belia) yang ditemui tapi apabila memikirkan pernah dimarahi semula, menyebabkan kami lebih ‘berkira-kira’ untuk menasihati,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN