PETALING JAYA – Pelbagai inisiatif penghargaan untuk rakyat seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin bukti komitmen Kerajaan Madani untuk terus merangka usaha dan inisiatif yang mendahulukan rakyat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kejayaan Kerajaan Madani dalam mengecapi kestabilan politik merupakan pendorong utama yang membolehkan dasar menyeluruh seperti itu dapat dilaksanakan.
“Langkah-langkah ini juga menggambarkan sebuah kerajaan yang bukan sekadar mencatat pertumbuhan ekonomi yang baik, tetapi lebih utama adalah memastikan pertumbuhan itu dapat diterjemah dalam bentuk manfaat langsung kepada rakyat.
“Ini dapat dikecapi susulan implementasi dasar dan program Madani ke arah tadbir urus dan tatakelola yang baik dan berintegriti. Demi kesejahteraan negara dan rakyat, marilah kita kekalkan kesepakatan dan perpaduan utuh ini dengan fokus untuk memperkukuh negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Azalina berkata, Mesyuarat Mingguan Jemaah Menteri di Putrajaya pagi tadi menyambut baik pengumuman mengenai pelbagai inisiatif penghargaan untuk rakyat oleh Anwar.
Perdana Menteri beberapa hari lalu mengumumkan pemberian RM100 secara ‘one-off’ kepada setiap warga Malaysia dewasa berusia 18 tahun dan ke atas sempena Hari Kebangsaan 31 Ogos 2025.
Anwar turut mengumumkan harga petrol RON95 akan diturunkan daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter sebagai ikhtiar segera bagi meringankan beban sara hidup rakyat.
Selain itu, peruntukan Jualan Rahmah Madani tahun ini ditingkatkan sekali ganda menjadi RM600 juta berbanding RM300 juta, manakala kenaikan kadar tol di 10 lebuh raya ditangguhkan.
Perdana Menteri turut mengumumkan 15 September 2025 diisytiharkan sebagai hari kelepasan am tambahan bagi nenghargai ukhwah perpaduan dan keistimewaan pembentukan Malaysia. – KOSMO! ONLINE