fbpx
Gambar kanan: Ikan tongsan susu saiz paling kasar yang saya dapat ketika trip, perhatikan rupanya seperti ikan rohu atau tongsan sisik kasar.

Tongsan susu ikan pemecut di tasik dan lombong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Saya sebenarnya belum pernah mendapat spesies ikan ini kerana ia dikatakan mula muncul dengan mendadak di beberapa kawasan lombong sekitar Perak dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Perasaan teruja pasti terbit akibat ingin tahu secara dekat rupa ikan ini dan kekuatannya apabila dipancing.

Sahabat saya, Aie pernah memancing ikan ini di satu lombong di Banir dalam daerah Tapah, Perak pada tahun lepas.

Saya yang tiada kelapangan waktu terpaksa memendam hasrat sehinggalah terlunas baru-baru ini. Kebetulan sekarang musim panas melanda, sekali gus menyebabkan paras air di lombong-lombong di Perak surut mendadak.

Musim kering dan tebing lombong yang menyerlahkan kawasan beting berpasir merupakan waktu terbaik untuk memancing di lombong. Ini berikutan kawasan cerun dalam sudah semakin dekat dengan tebing, lantas memudahkan pemancing menyampaikan umpan ke kawasan berpotensi.

Lombong di Banir

Kami sampai awal pagi lagi di lombong ini kerana jika terlambat pasti banyak tapak pancing akan dipenuhi orang. Selepas melintasi satu jambatan besi menyeberangi Sungai Chenderiang, sudah kelihatan lombong yang terbentang luas.

Menurut Aie, ada aliran air masuk dan keluar ke lombong dari Sungai Chenderiang. Tambahnya, dahulu ada orang menternak ikan sangkar di dalam lombong ini. Selepas sangkarnya pecah, operasi juga ditamatkan dan yang tinggal hanya orang membela itik.

Berkemungkinan ikan tongsan susu ini berasal dari sangkar-sangkar yang pecah tersebut. Di samping itu, terdapat pelbagai spesies ikan lain di lombong ini seperti tilapia, lampam sungai dan jawa, patin, tongsan kepala besar dan peacock bass.

Zaha dengan tangkapan tongsan susu pertama pada trip kami.

Ikan toman, jelawat, rohu, keli, sebarau dan lain-lain dikhabarkan tiada berdasarkan hasil tangkapan kami dan pemancing yang selalu ke sini, atau mungkin kami tidak tahu secara mendalam.

Teknik dan umpan

Kebanyakan pemancing tempatan memilih untuk menggunakan pelampung dengan perambut panjang antara satu hingga tiga kaki dan di hujungnya dipasang mata kail berangkai dengan spring sebagai alat memegang dedak.

Kami lebih gemar kaedah pancing dasar kerana boleh menggunakan antara tiga hingga empat set pancing seorang. Jika menggunakan pelampung hanya satu set boleh digunakan untuk mengelak banyak pelampung bersilang apabila angin kuat melanda permukaan lombong.

Saya kurang gemar menggunakan perambut ‘mata bom’ iaitu perambut dengan spring pemegang dedak dan ada antara empat hingga enam perambut pendek bermata kail di sekelilingnya.

Sebagai alternatif, saya guna satu spring pemegang dedak yang ‘hidup’ bermakna ia boleh bergerak di shock leader. Hujungnya dimatikan dengan satu swivel dan di hujung swivel diikat satu atau dua perambut pendek bermata kail. Cara ini bagi saya tidak terlalu serabut, cuma kena rajin memeriksa dan menukar umpan.

Aie sudah bersedia dengan dedak rasuah yang bakal dikepal di spring menggunakan dedak ayam dicampur tepung gandum dan dititikkan pewangi umpan seperti bauan pandan atau pisang. Untuk umpan di mata kail pula, boleh cuba apa yang dirasakan menjadi untuk menggoda ikan seperti pelet ikan, roti Gardenia, cacing, udang, cengkerik atau dedak rasuah itu sendiri.

Selera ikan tongsan susu ini juga berubah-ubah, ada kalanya ia mahukan umpan dedak sahaja dan masanya roti. Umpan pelet ikan juga berhasil untuk tongsan susu, cuma saiz juvenil lebih cepat mengambilnya, selain itu ikan lampam dan anak patin juga gemar mencuri umpan pelet.

Set pancing berkekuatan 6-12 atau 8-17 paun (lb), panjang antara enam hingga tujuh kaki dengan kekili saiz 1000 atau 2000, diisi tali braided 10 hingga 12lb sudah memadai.

Mata kail jenis chinu saiz antara nombor empat hingga tujuh daripada jenama Maruto, Gamakatsu atau Daiichi didapati cukup sesuai untuk ikan tongsan susu ini.

Kuat memecut

Zaha mula-mula mendapat rembatan daripada ikan tongsan susu, saya perhatikan boleh tahan padu tarikannya dan apabila naik, tidaklah sebesar mana pun. Kemudian Aie juga kena seekor, saiz juvenil, tetapi memang kuat tarikannya.

Tiga set pancing saya gunakan untuk ikan tongsan susu. Permukaan tasik yang lenang menyerlahkan lagi harapan untuk mendapatkannya.

Apabila saya teliti, ia mempunyai profil ikan yang berenang laju dengan mulut bermuncung, bentuk badan bulat memanjang dan ekor bentuk ‘V’, patutlah pecutannya padu.

Apabila saya pegang, ia menggeliang-geliut dengan sangat kuat seumpama ikan sebarau. Patutlah ia sentiasa terlepas dari genggaman, memang kena pegang ikan ini kuat-kuat supaya ia tidak terlepas.

Seperkara lagi, badannya juga kurang berlendir, satu lagi karakte­ristik ikan yang berenang laju sama seperti ikan sebarau.

Ikan tongsan susu ini juga makan umpan tidak seperti ikan rohu atau jelawat yang akan terus memecut sebaik terkena mata kail.

Saya perhatikan, ikan ini akan mengetu-getu kasar umpan, apabila joran disembat barulah ia memecut dan selalunya akan terus pergi ke permukaan air. Jarang ia akan mengalah dan akan terus melawan sehinggalah berjaya ditangguk.

Penantian saya akhirnya terjawab apabila salah satu joran yang dipasang melentur berkali-kali. Joran disembat dan akhirnya naiklah seekor ikan tongsan susu yang pertama dalam karier pancingan saya.

Dari tiga set joran, terpaksa saya rehatkan satu set dan seterusnya saya hanya menggunakan satu set pancing kerana ikan ini makan tanpa henti. Kebetulan lemparan umpan saya betul-betul di cerun yang dalam.

Tengah hari itu ketika cuaca betul-betul panas dengan terik matahari, ikan tongsan susu menggila membaham umpan yang dihulurkan, kebetulan pula permukaan lombong lenang kerana kurang angin.

Membawa ke petang, apabila angin sudah kuat bertiup secara tiba-tiba kawanan tongsan susu menghilang. Saya dapati pemancing tempatan pula bergasak kerana mereka menggunakan pelampung yang dilemparkan jauh ke tengah lombong.

Nampaknya, kumpulan tongsan susu sudah beralih dari kawasan cerun berhampiran tebing ke tengah lombong pula. Saya amat berpuas hati dengan hasil trip ini. Oleh kerana ia adalah spesies ikan pendatang, maka semua tangkapan tongsan susu kami bawa pulang.

Kesimpulannya, kekuatan tongsan susu ini boleh saya katakan lebih kuat daripada ikan jelawat atau rohu yang sama saiz.

Berani saya nyatakan, ia setara dengan ikan sebarau yang sebaya saiznya, cuma sayang ia tidak makan gewang.

Bersambung ke muka surat 28 untuk
info spesies ikan tongsan susu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN