SEREMBAN – “Saya ada empat cucu dan kini tinggal tiga sahaja.” Itu luahan datuk kepada pelajar kolej Afkar Fitri Affendi, 20, yang maut bersama dua rakannya dalam nahas di Kilometer 262, Lebuhraya Utara Selatan (arah Utara) di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, turut terkorban di lokasi kejadian dua rakan Afkar iaitu Aliff Syahmi Abdul Hakim, 18, dan Haris Azib Sulaiman, 21. Kesemua yang maut mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
Kesemua mereka difahamkan dalam perjalanan pulang selepas makan malam di Seremban.
Menurut Syed Salleh Syed Abu Bakar, 71, dia mendapat panggilan daripada anak perempuannya ketika pulang dari solat Subuh sebelum ke Hospital Rembau bersama sepupu.
“Cucu saya ini duduk di Puchong, namun disebabkan belajar di kolej (Bangi), bapanya belikan motosikal untuk dia berulang alik ke kolej dari rumah sewa.
“Saya sedih sangat. Dia cucu kedua memang rapat dengan saya dan isteri, Rohani Hussein, 66. Dua, tiga hari sekali mesti akan buat panggilan video. Dia cucu yang baik. Apa sahaja yang ibu, ayah serta bapa saudaranya minta tolong dia akan tolong.
“Penat macam mana pun dia akan tolong. Tak pernah nak merungut ke apa. Saya sedih namun reda dengan kejadian ini. Ikutkan, saya ada lapan anak, namun cuma empat cucu sahaja dan kini hanya tinggal tiga orang,” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Rembau, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Rohani berkata, mereka reda dengan apa yang berlaku hari ini lebih-lebih lagi cucunya itu sangat memuliakannya seperti seorang ibu.
“Afkar, jika jalan bersama saya, dia sanggup pimpin saya bimbang saya terjatuh dari yang lain. Afkar anak sulung dan adik keduanya baharu sahaja berusia tujuh tahun,” katanya sambil memaklumkan jenazah Afkar akan dikebumikan di Alor Gajah, Melaka.
Sementara itu, suasana sugul menyelubungi pekarangan Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau apabila semakin ramai ahli keluarga serta rakan yang terkorban dalam kemalangan pagi tadi, tiba untuk menunggu proses bedah siasat.