Ibu bapa dan pelajar lepasan SPM atau STPM diingatkan agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran biasiswa melanjutkan pengajian ke IPTS. - GAMBAR HIASAN

Waspada tawaran haram sambung belajar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AKHBAR Kosmo! baru-baru ini mendedahkan, ejen pendidikan tidak bertanggungjawab dipercayai menjadi dalang menjual data peribadi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) kepada kepada pihak-pihak tertentu.

Ejen tersebut memperoleh data pelajar melalui karnival pendidikan, program dan seminar yang disertai calon SPM atau STPM.

Menerusi program itu, ada ejen bertindak menjual nombor telefon, e-mel dan alamat pelajar kepada pihak ketiga.

Pendedahan oleh Kosmo! itu, sekali gus meleraikan tanda tanya ibu bapa dan remaja yang kerap menerima panggilan telefon dan surat tawaran daripada pihak institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Mengulas mengenai perkara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Komputer dan Matematik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kelantan, Kampus Kota Bharu, Prof. Madya Dr. Syerina Azlin

Md. Nasir berkata, ibu bapa dan pelajar lepasan SPM atau STPM diingatkan agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran biasiswa melanjutkan IPTS yang tidak berdaftar.

Menurutnya, terdapat segelintir ejen pendidikan yang mengambil peluang membuat surat tawaran kepada pelajar dengan menawarkan biasiswa pengajian.

Beliau berkata, modus operandi adalah ejen pendidikan akan meminta ibu bapa membuat bayaran ‘tempahan’ sebanyak RM200 hingga RM300 untuk mengesahkan tempat anak-anak untuk melanjutkan pengajian di IPTS bersama biasiswa.

“Mereka akan memberi kata dua iaitu tempat anak-anak diberikan kepada pelajar lain sekiranya tidak membayar tempahan itu. Ada juga kes pelajar dijanjikan biasiswa bukan untuk keseluruhan pengajian dan hanya melibatkan satu jumlah tertentu sahaja.

“Selain itu, ibu bapa dan pelajar juga harus berwaspada dengan tawaran yang menjanjikan peluang pekerjaan selepas tamat pengajian. Jaminan pekerjaan itu sebenarnya hanya satu taktik untuk menarik pelajar masuk ke IPTS mereka.

“Terdapat juga ejen pendidikan yang mewakili IPTS memberi tawaran yang samar-samar dan tidak jelas objektif dalam usaha untuk menarik pelajar menyertai institusi mereka,” katanya.

Syerina Azlin memberitahu, pelajar juga perlu berhati-hati apabila menghadiri panggilan temu duga melanjutkan pengajian kerana kebanyakan IPTS yang tidak berdaftar akan menyewa dewan atau premis kerajaan untuk menyakinkan orang ramai mengenai institusi mereka.

Menurutnya, ia merupakan salah satu tanggapan pertama untuk memberi keyakinan kepada ibu bapa dan pelajar yang hadir.

“Kita bimbang penawaran jurusan tertentu tidak berdaftar dan tiada kelayakan di bawah Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Justeru, bidang pengajian yang ditawarkan boleh dipertikaikan keabsahannya sekali gus menyukarkan graduan untuk mencari pekerjaan selepas tamat pengajian.

“Semua pihak perlu sentiasa peka dan tidak mudah terpedaya dengan segala tawaran yang diperolehi dari sumber yang tidak sahih terutama daripada IPTS dan kolej swasta yang tidak berdaftar,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN