PETALING JAYA – Port Dickson, Negeri Sembilan merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat iaitu IPU 117, berdasarkan status kualiti udara dan jerebu sehingga pukul 3 petang tadi.
Selain itu, sebanyak lima kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap baik dan 62 kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap sederhana.
Ketua Pengarah Alam Sekitar, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, kemerosotan kualiti udara ini disebabkan oleh terdapat pergerakan asap jerebu
memasuki rantau negara ini.
Menurutnya, dalam masa sama tiada kebakaran besar dalam negara yang dikesan.
“Berdasarkan laporan oleh ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) berpusat di Singapura semalam, imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20, terdapat 79 titik panas dikesan di Sumatera, lapan di Kalimantan dan empat di dalam negara iaitu di Pahang.
“Peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan oleh ASMC pada semalam menunjukkan terdapat pergerakan asap jerebu yang bertiup ke arah barat daya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, keadaan kering dilaporkan di bahagian selatan Semenanjung Malaysia, bahagian Sumatera, Jawa, Kepulauan Sunda Kecil dan bahagian selatan Kalimantan.
“Titik panas terpencil dikesan di Sumatera, manakala beberapa titik panas dikesan di Semenanjung Malaysia, Kalimantan, Vietnam dan Thailand.
“Kepulan asap setempat diperhatikan berpunca daripada titik panas yang dikesan di bahagian utara dan tengah Sumatera.
“JAS telah meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan aktiviti rondaan harian ke kawasan-kawasan yang berpotensi berlakunya aktiviti pembakaran terbuka serta memantau bacaan IPU dari masa ke semasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE