DALAM usaha memastikan skuad wanita negara dapat menampilkan aksi terbaik pada temasya Sukan SEA 2027 di Malaysia, Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) berhasrat untuk melantik konsultan dari Thailand.
Presiden PSM, Datuk Mohd. Sumali Reduan menjelaskan, ia merupakan satu keperluan untuk membawa masuk kepakaran dari luar bagi memastikan peningkatan prestasi dapat dibuat secara menyeluruh dan tersusun.
Beliau berkata, konsultan itu akan menggalas tugas bagi membantu barisan kejurulatihan dengan memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran, penambahbaikan taktikal selain mempercepatkan proses kematangan pemain.
“Fokus kita sekarang adalah untuk saingan tahun depan, terutamanya temasya Sukan SEA 2027 kerana kita merupakan tuan rumah. Atas sebab itu kita perlu mengambilnya (konsultan) bermula sekarang.
“Dia (konsultan) tidak akan fokus kepada tekong ataupun killer (perejam) sahaja tetapi meliputi semua pemain wanita supaya peningkatan dapat dilakukan segera,” katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil semalam.
Tambah beliau, pelantikan tersebut mungkin dibuat selewat-lewatnya bulan depan dengan badan induk sepak takraw negara itu sudah mengenal pasti beberapa calon untuk dibawa masuk dan menggalas peranan itu.
Langkah itu dilihat selari dengan perancangan PSM bagi memperkasakan skuad pelapis wanita yang akan dibentuk selepas temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 bagi memastikan kesinambungan pembangunan bakat.
“Kalau dapat (lantik) dalam tempoh sebulan dari sekarang sebenarnya lagi bagus kerana kita mahu pembangunan wanita dilakukan dalam kadar segera dan supaya tidak menunggu terlalu lama,” ujar Sumali.














