fbpx
SETIAP hari ada sahaja cerita orang cerdik pandai kena tipu hingga menanggung kerugian jutaan ringgit. - GAMBAR HIASAN

Berhenti jadikan penipu kaya-raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DALAM dunia ini ada dua golongan manusia. Pertama yang pandai menipu dan kedua sentiasa tertipu.

Golongan pertama sentiasa hidup senang daripada kebodohan orang lain. Kebolehan memutar belit menjadikan poket mereka sentiasa penuh walaupun hati tak tenang sepanjang hari.

Orang yang sentiasa tertipu pula akan kehabisan duit untuk menampung hidup si penipu. Contohnya ketika membeli durian, masuk skim cepat kaya, terpedaya dengan scammer, sertai program motivasi, ikut kata penunggang agama dan ‘termakan’ ulasan pempengaruh plastik.

Setiap hari ada sahaja cerita orang cerdik pandai kena tipu. Kerugian yang ditanggung pula bukannya sedikit, bahkan mencecah bilion ringgit.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan menerima 500 aduan penipuan sehari dan kerugian direkodkan setakat ini mencecah RM1.5 bilion.

Sekiranya kita tiada kebolehan menipu, apakah caranya supaya kita tidak tertipu? Jawapannya adalah dengan peka dengan suasana keliling dan pelajarilah ilmu.

Bagi orang Islam, menuntut ilmu termasuk dalam bab fardu ain. Daripada saat kita dilahirkan sehinggalah dimasukkan ke dalam liang lahad, wajib ke atas kita menuntut ilmu.

Baru-baru ini kecoh mengenai satu program motivasi yang menggemparkan banyak pihak.

Walaupun niat peserta itu baik untuk mengubah diri, namun kita lupa untuk membuat semak silang mengenai bahan yang diajar kerana hidup pada zaman sekarang, apa yang menjadi tular itulah yang diikut.

Lupakah kita mengenai Islam yang menyuruh kita mencari guru mursyid supaya dapat membimbing diri menjadi orang yang pandai menguruskan hidup?

Guru mursyid merupakan pembimbing rohani dalam tradisi tasawuf yang berperanan sebagai pemimpin murid menuju kepada Tuhan. Mereka menguasai ilmu syariat dan hakikat selain memiliki pengalaman spiritual yang mendalam.

Lihatlah betapa hebatnya Islam mendidik kita supaya sentiasa berada dekat kepada Maha Pencipta melalui ilmu yang bermanfaat.

Memang diakui mencari guru yang benar-benar ikhlas mendidik dan mentarbiah muridnya kepada jalan yang lurus terlalu sukar ditemui. Ia ibarat mencari sebutir garam di dalam timbunan gula.

Inilah dilema yang sering dihadapi oleh seseorang yang ingin berhijrah. Tersilap memilih guru membawa padah kepada akidah dan menatijahkan suul khatimah (pengakhiran buruk) kerana telah mencederakan amal.

Bertaubatlah dan segera kembali kepada al-Quran serta sunah. Kadang-kadang benda ada di depan mata tetapi kita gagal melihatnya.

Selalunya, guru yang ikhlas akan sentiasa ditohmah kerana keberadaan mereka menentang kezaliman dan jenayah agama sentiasa tidak disenangi oleh si penunggang dan pentaksub.

Ingatlah kata-kata ini yang telah lama menjadi motivasi kepada mereka yang berhijrah untuk menuntut ilmu. Hina besi kerana karat, hina kayu kerana reput, hina manusia kerana jahil. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN