BESUT – Keadaan emosi Nor Erika Elysha Mohd. Zaidi, 21, semakin stabil selepas menerima hakikat dua sahabat baiknya meninggal dunia dalam nahas bas melibatkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak pada 9 Jun lalu.
Ibunya, Noorzailiza Zakaria @ Ariffin, 41, berkata, anaknya yang cedera dalam kejadian itu pada awalnya amat terkejut dan sukar menerima hakikat pemergian dua sahabat baiknya tersebut.
Katanya, kematian Sufea Adela Maslihaizan, 21, dan Nik Amni Nadiah Nik Nor Zabir, 21, benar-benar memberi kesan kepada anak sulungnya itu.
“Saya memaklumkan hal itu kepadanya baru-baru ini. Mereka bersekolah sama sejak tingkatan dua sebelum melanjutkan pelajar di UPSI dalam jurusan Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Islam).
“Pada mulanya dia menyangka Sufea Adela dan Nik Amni Nadiah cuma cedera sepertinya. Dia berhasrat menziarahi kubur dua sahabat baiknya itu apabila sembuh sepenuhnya,” katanya.
Menurut Noorzailiza, anaknya sudah dibenarkan keluar hospital Khamis lalu selepas berada di wad selama 32 hari.
Tambahnya, anak sulung daripada tiga beradik itu patah leher dan kedua-dua tangannya.
“Dia kini boleh berjalan dan doktor menasihatkannya supaya tidak banyak bergerak supaya cepat pulih,” katanya.
Pada 9 Jun lalu, 15 pelajar UPSI terkorban selepas bas persiaran yang dalam perjalanan pulang ke kampus terlibat dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) di Gerik, Perak.














