KUALA LUMPUR – Dituduh hanya bergantung harap pada bapa, anak kepada pelakon Dharma Harun Al-Rashid, Muhammad Al Syafiq terkilan apabila laman sosial tempat pengajiannya, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) menjadi sasaran ‘serangan’ netizen.
Kata pelakon dan pengarah berusia 36 tahun itu, segelintir individu salah faham apabila menuduhnya tidak bekerja sedangkan dia mencari rezeki menyara keluarga sebagai barista sejak dua tahun lalu sambil belajar.
“Sedih, kecewa dan marah bercampur-baur apabila tidak cukup dengan DM (mesej langsung) ke laman sosial saya, Instagram Aswara yang tiada kena-mengena turut menjadi mangsa serangan tidak puas hati.
“Hanya kerana saya tidak buka mulut mengenai kerja yang saya buat, ramai sangka saya goyang kaki harapkan duit ayah, tidak sara keluarga dan banyak lagi tuduhan melulu.
“Ya, saya belajar tapi tetap bekerja untuk bayar sewa rumah dan makan pakai kami tiga beranak, cuma dengan sijil SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) berapa sangat gaji saya peroleh. Sebab itu saya nak ‘upgrade’ diri kejar ijazah,” katanya kepada Kosmo! Online.
Menurut anak bongsu daripada dua bersaudara itu, tindakan melampau netizen yang dianggap pembuli siber itu memberi tekanan sekali gus mengganggu emosinya.
“Selama ini saya diamkan diri sebab enggan melayani sebarang provokasi kerana ayah tahu kesusahan saya bekerja sambil belajar termasuk pada hujung minggu atau hari cuti.
“Saya sabar sahaja kerana fokus saya habiskan pengajian dengan mendapatkan keputusan cemerlang seterusnya dapat pekerjaan bagus serta gaji yang lebih banyak bagi menyenangkan bapa saya.
“Namun lama-kelamaan kecaman makin melampau apabila segelintir yang tidak tahu pun usaha kita terus fitnah saya tak buat apa-apa untuk cari duit terutama ketika ayah sakit. Takkan saya nak heboh atau tayang satu dunia saya bekerja,” ujarnya.
Kopi di pinggir jalan
Menurut Al Syafiq yang bekerja di sebuah gerai kopi di pinggir jalan, dia turut aktif berlakon dan bekerja di belakang tabir dengan beberapa produksi.
“Sebelum fasa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), saya menguruskan produksi milik ayah dengan menerbitkan program 13 episod membabitkan pengubahsuaian surau seluruh negara siaran sebuah stesen televisyen.
“Program tersebut sukses dan sepatutnya disambung musim kedua tetapi berikutan pandemik semua perancangan terbengkalai. Selepas itu saya bekerja jaga sebuah gimnasium.
“Pada masa sama saya masih berlakon sampai sekarang, begitu juga dengan kerja belakang tabir. Apa sahaja rezeki halal saya ambil, macam terbaru saya ulang alik naik bas ke Johor hampir seminggu bagi menjalani penggambaran drama Kapal Haji siaran Mediacorp,” katanya.
Terdahulu, keadaan kesihatan Dharma, 69, yang berdepan pelbagai masalah kesihatan hingga berat badannya turun mendadak ke 45 kilogram mengundang kebimbangan ramai.
Susulan itu, ramai netizen menyarankan Syafiq dan kakaknya, Siti Qurratu Aini yang juga belajar di Aswara menamatkan pengajian mereka bagi mencari kerja apatah lagi ketika ini keluarga terbabit berdepan masalah kewangan. – KOSMO! ONLINE