PERNAH obes dengan berat mencecah 124 kilogram (kg) ketika remaja selain menghidapi pelbagai penyakit kronik seperti kencing manis membuatkan dirinya tekad mengubah gaya hidup.
Seawal usia 11 tahun, anak kelahiran Shah Alam, Selangor ini sudah mengalami masalah obes sehingga kemudian menghidap keseluruhan enam penyakit dengan pelbagai komplikasi.
Menyedari masalah kesihatannya yang memburuk, dia akhirnya tekad untuk membuat perubahan kepada diri sendiri ketika berusia 23 tahun pada tahun 2010.
Lebih memberikan tamparan dan memaksa dirinya menjaga kesihatan tatkala mendiang bapanya meninggal dunia. Ia disebabkan penyakit kencing manis, kebocoran buah pinggang dan pelbagai komplikasi lain termasuk jantung serta angin ahmar. Hal itulah menjadi ‘pengajaran’ terbesar kepada doktor perubatan, Dr. Shalini Devi Ramachandran untuk terus kekal sihat dan membentuk dirinya kini.
Dr. Shalini Devi, 38, menjadi inspirasi ramai kerana tampil sihat, cergas dan cantik sebagai wanita sudah berumah tangga.
Bagi pemegang takhta Mrs. Malaysia World 2024 ini, keyakinan yang dibina selepas mencapai berat 60kg hasil perubahan gaya hidupnya itu mendorongnya untuk memberanikan diri menyertai pertandingan ratu cantik bermula tahun 2019.
Mula mengaktifkan diri dengan menyertai pertandingan pertama, Mrs. Saree Malaysia 2019 dan diumum juara, langkahnya tidak terhenti di situ.
Dia mula ‘berani’ dan semakin selesa menyertai pelbagai pertandingan lain.
Antara kejayaan terbesar dikecapi dalam arena ratu cantik sekali gus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia adalah apabila dia yang mewakili negara di Mrs. World 2024 di Las Vegas, Amerika Syarikat, Januari lalu berjaya meraih dua gelaran iaitu Best Costume Award dan Mrs. World Ambassador Award.

Dr. Shalini yang juga jurulatih kecergasan bertauliah memikat hati para juri dengan kostum kebangsaan yang menakjubkan diberi nama Puteri Membara Malaysia.
Kostum tersebut menampilkan train (ekor) sepanjang 121.3 meter iaitu terpanjang pernah dicipta untuk kostum kebangsaan yang juga tercatat dalam Malaysia Book of Records (MBOR).
menyorot kisah ‘tragis’ lampau dalam hidupnya, Dr. Shalini mengakui tabiat suka makan tanpa mengira masa ketika di zaman kanak-kanak selain gaya hidup tidak sihat merubah dirinya.
“Dahulu berat saya pernah mencecah 124kg disebabkan tabiat saya yang suka makan. Saya juga sering dibuli dan diejek (body shaming) selain dipinggirkan di sekolah.
“Malah, gaya hidup saya yang tidak sihat ini juga mengundang implikasi buruk apabila disahkan menghidap kencing manis dan menderita selama hampir 22 tahun lamanya sejak berusia 11 tahun.
“Bukan itu sahaja, saya turut mengalami beberapa lagi masalah kesihatan lain termasuk polycystic ovary syndrome (PCOS), artritis di kedua-dua belah lutut dan hipotiroidisme yang menganggu rutin harian.
“Disebabkan itu juga, saya mengambil keputusan untuk memperbaiki gaya hidup supaya lebih sihat lebih-lebih lagi selepas ayah saya meninggal dunia disebabkan penyakit sama,” katanya.
Ternyata langkah dan kesabaran anak sulung daripada dua beradik ini akhirnya membuahkan hasil.
“Setelah pelbagai usaha dilakukan, akhirnya saya berjaya menurunkan berat saya hingga 48kg dalam masa beberapa tahun. Kejayaan menghilangkan lebih 70kg dan kekal dengan dengan berat sama iaitu 60kg hampir 11 tahun lamanya membuatkan ramai orang meminta saya berkongsi pengalaman dan tip.
“Hal itu juga membuatkan saya mula aktif dengan dunia kecergasan sampailah bergelar jurulatih kecergasan,” katanya.

Di sebalik obes dirinya, Dr. Shalini bercita-cita menjadi doktor sejak kecil dan berjaya merelisasikannya.
Merupakan graduan perubatan dari Asian Institute of Medicine, Science and Tekchnology (AIMST University), Kedah, Dr. Shalini kini merupakan doktor perubatan yang sibuk menguruskan klinik miliknya dan suami, Dr Yuveneswara Murti.
Berkongsi mengenai tip kurus yang dipraktikkan, Dr. Shalini mengakui prinsip menjadi diri sendiri membuatkannya lebih bersemangat mencapai matlamat.
“Saya memang suka menjadi diri saya sendiri dan bukan untuk orang lain. Saya berusaha untuk berubah kerana tidak mahu lagi berdepan dengan masalah kesihatan.
“Tip kedua adalah dari segi pengambilan nasi. Ramai orang kata nasi tak boleh makan. Bagi saya, nasi paling penting dan kena minum air yang banyak serta sentiasa berfikiran positif,” katanya.
Ditanya mengenai perasaannya ketika berjaya merangkul dua anugerah di Amerika Syarikat baru-baru ini, wanita berzodiak Leo ini sebenarnya langsung tidak menyangka.
“Mungkin sudah dinamakan rezeki. Saya memang bangga dapat gayakan rekaan menakjubkan yang direka pereka busana dari Radio Televisyen Malaysia (RTM), Saran Lagong.
“Kostum Puteri Membara diilhamkan untuk saya atas keberanian diri ini mengubah gaya hidup daripada seorang obes ke pentas ratu cantik,” katanya.
Puteri Membara menggabungkan motif batik tradisional dan songket dengan sentuhan seni kontemporari sekali gus menyerlahkan kekayaan budaya Malaysia serta kreativiti industri fesyen tempatan.
Bagi Mrs World Ambassador Award pula, Dr. Shalini berkata, dia dipilih atas kesungguhannya menjalankan advokasi kesihatan iaitu kempen ‘Say Yes to Zero Obesity’ menerusi media sosial.
Kempennya mencatat kejayaan yang tidak diduga dengan peserta berjaya menurunkan berat badan sebanyak 10kg dalam tempoh 30 hari.
Selain itu, usaha serius menentang buli siber melayakkannya untuk memenangi anugerah tersebut. Jelasnya, menerusi pengiktirafan itu, dia mahu terus memanfaatkan platform media sosial untuk galakkan mereka yang terkesan dengan buli siber agar mendapatkan bantuan.
Berkongsi kegiatan dan aktiviti hariannya, dia kini sibuk menguruskan klinik miliknya dan suami iaitu Aranda Clinic di Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor.
Kliniknya itu dibuka selepas enam tahun berkhidmat sebagai pegawai perubatan di Hospital Klang, Hospital Jerantut dan terakhir di Klinik Kesihatan Puchong.
Di samping itu, dia yang juga belum dikurniakan cahaya mata bergelar pakar pemakanan sukan bertauliah turut mengasaskan Dr Y Dr S Wellness Centre yang mempunyai 43 studio kecergasan di Malaysia dan Singapura serta bakal dibuka di Melbourne, Australia.














