PETALING JAYA – Pendaki Gunung Kinabalu mengalami detik cemas apabila hujan lebat melanda puncak Gunung Kinabalu pagi tadi sehingga mengakibatkan aliran air deras di sepanjang laluan pendakian.
Menerusi klip tular yang dimuat naik di media sosial Gunung Kinabalu, kelihatan para pendaki terpaksa meredah arus air deras yang mengalir laju dari kawasan tinggi, menjadikan proses pendakian sukar dan berbahaya.
“Hujan lebat melanda Gunung Kinabalu pagi ini mengakibatkan aliran deras di sepanjang laluan pendakian.
“Jika anda mendaki dalam cuaca sebegini, kekal tenang dan ikut arahan ‘guide’ (pemandu arah) serta utamakan keselamatan selalu,” ujar pengguna tersebut menerusi hantaran itu.
Sementara itu, semua pendaki dilaporkan selamat dan berjaya tiba di lokasi perlindungan tanpa sebarang kecederaan.
Difahamkan, insiden itu bukan disebabkan pendaki mengabaikan amaran cuaca, sebaliknya disebabkan faktor cuaca di gunung yang tidak menentu dan sukar diramal.
“Cuaca di Gunung Kinabalu sukar diramal, jadi perkara seperti ini sebenarnya biasa tetapi tidak dinafikan ia masih berbahaya dan kemungkinan berlaku perkara yang tidak diingini masih tinggi,” kata seorang pengguna di media sosial.
Seorang lagi pengguna memaklumkan, cuaca pada awal pagi sememangnya hujan dan berangin, namun kembali cerah sebelum tiba-tiba berubah semula menjadi angin kencang dan hujan lebat beberapa jam kemudian.
“Pada awal pagi tadi, memang sudah hujan dan angin kuat tetapi selepas itu cuaca normal, matahari pun sudah muncul. Tetapi beberapa jam selepas itu angin kuat dan hujan lebat kembali sehingga jadi macam inilah,” ujar seorang lagi pengguna.
“Bagi yang anggap para pendaki ini naik dalam cuaca buruk dan hujan lebat, anda salah ye kerana kalau cuaca teruk, pendaki tidak dibenarkan naik sekali pun. Ini cuaca buruk terjadi ketika mereka sudah berada di atas. Jadi, mahu atau tidak mereka perlu menghadapinya dan jangan risau ada pemandu arah yang akan jaga keselamatan mereka sebaik mungkin,” kongsi pengguna di media sosial. -KOSMO! ONLINE