KUALA LUMPUR – ASEAN menyeru semua pihak supaya menguruskan situasi di Laut China Selatan dengan bijaksana dan berhati-hati.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, dalam masa sama, ASEAN juga mengalu-alukan kemajuan ke arah Kod Tatalaku (COC) di Laut China Selatan dan berharap momentum positif tersebut dapat diteruskan.
Menurutnya, ASEAN yakin dengan komitmen penuh semua pihak dalam rundingan, COC tersebut akan dapat dimuktamadkan dengan berkesan dan bermakna dalam masa terdekat.
“Berdasarkan aspirasi dan norma yang dikongsi bersama, ASEAN dan China terus memastikan rantau kita kekal aman, stabil dan makmur.
“Cabaran yang kita hadapi harus memperkukuh komitmen bersama ini, lebih-lebih lagi dalam suasana global yang semakin tidak menentu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mempengerusikan Mesyuarat Pasca Persidangan Menteri ASEAN dengan China sempena Mesyuarat Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Mohamad berkata, ASEAN juga mengalu-alukan kesediaan China untuk menjadi negara senjata nuklear pertama (NWS) yang menandatangani dan meratifikasi Protokol kepada Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) tanpa sebarang syarat.
“Ini merupakan satu langkah penting ke hadapan yang menunjukkan kepimpinan dan komitmen China terhadap Asia Tenggara yang bebas daripada senjata nuklear,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kerapuhan keamanan sejagat yang semakin ketara saban hari menuntut ASEAN untuk melipat ganda usaha bagi memastikan keamanan dan kestabilan rantau ini terpelihara.
“Justeru, kita mesti memastikan ketegangan geopolitik tidak meningkat atau mengancam keselamatan dan perdagangan global di Laut China Selatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE