PETALING JAYA – Pemilik restoran terkenal di negara ini mendedahkan mereka kerap didatangi individu yang mengaku sebagai influencer atau pempengaruh untuk menikmati layanan istimewa termasuk makan secara percuma.
Kebanyakan mereka datang ke premis makanan popular atau tular tersebut secara mengejut tanpa jemputan rasmi daripada pemilik atau membuat tempahan terlebih dahulu.
Pemilik Rico’s Pizza!, Merico Achenk Abdullah, 40, berkata, secara purata terdapat dua hingga tiga pempengaruh datang ke premisnya yang menyajikan daging premium secara mengejut setiap bulan.
“Saya pernah berdepan influencer yang mengaku memiliki sehingga 200,000 pengikut dan makan dengan bil mencecah RM1,500. Saya terpaksa minta mereka menjelaskan bil itu kerana tidak jemput.
“Ada influencer yang hubungi terlebih dahulu, mereka bekerja secara profesional dan lebih beradab. Mereka juga memiliki peralatan lengkap seperti kamera, lampu dan rancangan kandungan. Golongan ini jarang datang secara mengejut.
“Yang jadi masalah apabila ada yang datang terus ke kedai, biasanya dua atau tiga orang dengan hanya membawa telefon pidan lampu tanpa kad perniagaan atau perbincangan,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Menurut Merico, biasanya dia akan menolak permintaan kumpulan itu kerana bimbang ada yang mengambil kesempatan untuk makan secara percuma tanpa tanggungjawab profesional.
Katanya, kebanyakan pempengaruh profesional memahami tanggungjawab masing-masing.
“Biasanya kalau video tak ‘naik’ view (tontonan), mereka sanggup mengeluarkan wang sendiri untuk tujuan iklan, manakala influencer yang datang mengejut ini mereka merakam video secara ala kadar dan tidak mementingkan kualiti serta jumlah tontonan,” katanya.
Jelasnya, setakat ini dia tidak pernah menerima sebarang ugutan atau penilaian teruk daripada influencer yang ditolak. Dia turut mengingatkan peniaga restoran supaya menjelaskan situasi tersebut kepada pekerja bagi mengelak salah faham.
“Ada kes kami (pemilik) tiada di kedai, influencer beritahu staf mereka sudah menghubungi pemilik sedangkan itu satu bentuk penipuan untuk makan secara percuma,” ujarnya.
Merico meluahkan rasa bimbang dengan sikap segelintir pempengaruh yang cuba mengambil kesempatan ke atas peniaga kecil dan sederhana yang bergelut untuk bertahan dalam perniagaan masing-masing.
“Ramai pemilik yang sedang berjuang kerana pelanggan kurang. Dalam keadaan terdesak, ada influencer datang untuk makan percuma.
Tindakan ini seperti mengambil kesempatan atas kesempitan orang lain,” katanya yang menghargai peranan pempengaruh profesional.
Sementara itu, Pengurus Nasi Kandar Sulaiman, Mirzan Mohamed Yasin, 27, berkata, dia menolak secara baik sekiranya didatangi pempengaruh secara mengejut.
“Ada yang minta makan percuma dan ada yang minta bayaran sehingga RM2,000 kononnya untuk tujuan promosi. Tiada kriteria khusus, tapi kalau tiada jemputan memang wajar ditolak.
“Tindakan mereka ini boleh buat peniaga rasa tertekan selain membuang masa,” katanya.
Mirzan selesa sekiranya pempengaruh itu datang sebagai pelanggan biasa tanpa menonjolkan status mereka.
Bagi pemilik Bagan Chicken Rice, Syazwan Yusri, 24, kehadiran pempengaruh tanpa jemputan disifatkan sebagai situasi menang-menang sekiranya dilakukan secara beretika dan tidak membebankan peniaga.
“Sepanjang hampir dua tahun berniaga, ada beberapa influencer yang datang. Ada yang singgah makan dan berkongsi di media sosial, tetapi mereka tidak makan secara percuma atau minta bayaran. Saya anggap itu pemasaran percuma,” katanya.














