fbpx

‘Abang Aji hanya gemuk susu, makanan dijaga’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abang Aji dan bapanya.

PETALING JAYA – Ayah kepada pencipta kandungan cilik yang dikenali sebagai Abang Aji tampil menjawab kritikan netizen yang mendakwa dirinya gagal memantau pemakanan anaknya yang kini sering menjadi perhatian di media sosial.

Menerusi satu video di akaun TikTok miliknya, lelaki itu menjelaskan semua makanan yang diambil oleh anak lelakinya yang berusia empat tahun itu berada di bawah pemantauan rapi dan kandungan yang dimuat naik hanyalah untuk hiburan semata-mata.

“Sebagai ayah, saya pantau semua pemakanan dia dan dalam semua video makanan itu hanyalah kandungan semata-mata.

“Kesemua video yang saya muat naik juga telah disunting demi menghiburkan netizen di media sosial,” katanya dalam klip tersebut.

Dia turut menegaskan Abang Aji tidak mengambil makanan ringan atau bergula secara berlebihan, malah lebih banyak meminum susu berbanding makan seperti kanak-kanak lain.

“Dia tidak makan jajan seperti gula-gula atau aiskrim. Saya juga tak benarkan dia makan semua itu secara berlebihan.

“Dia gemuk sebab minum susu sahaja, kalau berhenti susu dia akan kurus. Dia baru empat tahun, tak mungkin makan macam orang dewasa. Saya ini ayah, sudah tentu saya jaga dia elok-elok,” ujarnya.

Sebelum ini, tular satu lagi video yang memaparkan seorang lelaki menegur bapa kepada kanak-kanak tersebut supaya lebih prihatin terhadap aspek pemakanan anaknya.

“Saya nasihatkan kepada ayah budak ini supaya jangan terlalu ikut apa yang anak minta makan.

“Lebih baik cegah dari sekarang supaya anak tak tanggung penyakit bila dah besar nanti,” katanya dalam video berkenaan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI