Kebelakangan ini sudah banyak kali penulis menggunakan perkhidmatan kesihatan di beberapa hospital dan klinik kerajaan.
Banyak perkara yang boleh diceritakan mengenai perkhidmatan yang disediakan itu, sekarang ini di Klinik Kesihatan Seksyen 19, Shah Alam penulis ada melakukan pemeriksaan kesihatan setiap enam bulan sekali.
Setiap kali janji temu, masa yang diambil sekurang-kurangya tiga jam untuk urusan ambil darah, jumpa doktor dan ambil ubat.
Walaupun anggaran tiga jam menunggu di klinik kerajaan perkara itu dianggap wajar dengan kos RM1 atau percuma bagi penjawat awam dan tanggungan.
Apa yang anda perlukan lagi, kita tidak perlu merungut dengan tiga jam kerana ubat yang dibekalkan oleh doktor itu jika ke hospital swasta sudah tentu mencecah RM500.
Bersyukurlah kita di Malaysia masih menikmati perkhidmatan kesihatan yang percuma cuma memerlukan masa tiga jam menunggu.
Bagi penulis, penjawat awam yang bergred tinggi dan tanggunggan sepatutnya dikenakan bayaran sekurang-kurangya RM5 dan bukan lagi percuma kerana apabila melihat kepada pengalaman di Hospital Putrajaya baru-baru ini.
Bayaran percuma bagi perkhidmatan kecemasan di Hospital Putrajaya dengan layanan terbaik walaupun terpaksa menunggu lima jam bermula pukul 11 malam masih boleh dianggap berbaloi.
Tempoh waktu itu, penulis diarahkan untuk membuat ujian sinaran X dan ujian darah dalam tempoh yang singkat dan perlu menunggu untuk tempoh sejam untuk keputusan ujian.
Dalam masa sudah tengah malam, penulis sudah terlelap di kerusi menunggu, petugas hospital terus menghubungi nombor telefon bimbit untuk pengesahan status keberadaan.
Setelah berjumpa doktor untuk prosedur rawatan, pesakit turut diberikan katil untuk ‘day care’ sementara menunggu surat cuti sakit, surat rawatan dan pembekalan ubat.
Doktor di situ walaupun bekerja dalam syif 24 jam tetap boleh berjenaka dan membuat rawatan dengan cemerlang hanya di atas katil.
Disebabkan itu penulis mencadangkan kepada Kementerian Kesihatan agar mengenakan caj untuk penjawat awam yang bergred tinggi dan tanggungan.
Agak rasa bersalah rawatan kelas A itu diberikan percuma untuk semua penjawat awam walaupun hospital swasta mahu bayaran sebanyak RM11,000 pada asalnya untuk sakit seumpama itu.
Terima kasih Hospital Putrajaya, tidak pelik hospital anda menerima pengiktirafan sebagai satu daripada Hospital Terbaik Dunia 2025 oleh Newsweek dan Statista.
Pengalaman pertama kali di Hospital Putrajaya itu memberikan persepsi lain yang digambarkan sebelum ini kepada hospital kerajaan, terima kasih ini khas untuk pengawal keselamatan hinggalah doktor pakar di unit kecemasan.














