SETIAP individu pasti mempunyai cita-cita yang ingin dicapai dalam hidupnya.
Begitu juga buat Arissa Ahmad Khairul, 21, yang bercita-cita untuk menjadi seorang pembaca berita.
Menurutnya, sejak kecil lagi dia telah menyimpan hasrat untuk menceburi kerjaya tersebut.
“Ketika kecil saya sering menonton siaran berita pada sebelah malam bersama keluarga.
“Saya kagum melihat penyampai berita menyampaikan maklumat dengan penuh yakin dan profesional kepada penonton,” katanya.
Tambahnya, demi menggapai impian tersebut dia kini melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Kewartawanan) di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam di Selangor.
Baginya, bidang komunikasi ini sangat penting untuk dia mengejar cita-cita menjadi seorang penyampai berita ataupun wartawan penyiaran.
Oleh itu, dia mengambil keputusan untuk menimba ilmu sebanyak mungkin sebelum melangkah kaki ke dunia pekerjaan.
Arissa yang merupakan anak sulung daripada dua beradik itu menjelaskan, keluarganya memberi dukungan yang kuat kepadanya untuk mengejar cita-cita itu.
“Ketika di zaman persekolahan, saya mengambil aliran sains dan saya boleh melanjutkan pengajian dalam bidang sains sebenarnya tetapi saya tidak minat.

“Oleh itu, ibu menyarankan saya untuk menjadi penyampai berita ataupun wartawan penyiaran dengan melanjutkan pengajian di dalam bidang komunikasi,” jelasnya.
Menceritakan tentang dirinya, Arissa mengakui dia dahulu seorang yang pemalu dan introvert.
Namun, pembelajaran dalam bidang komunikasi memaksanya untuk keluar daripada rasa yang bersarang dalam dirinya itu dan membentuk keyakinan dirinya pada ketika ini.
Dia perlu belajar berinteraksi, melakukan tugasan lapangan dan menjalani latihan temu bual sepanjang mengikuti pengajian dalam bidang itu.
Kini, dia lebih yakin, petah berbicara dan sering memimpin tugasan berkumpulan.
Sebagai seorang pelajar, Arissa sentiasa mengutamakan kecemerlangan akademik.
Menurutnya, sebelum ini ketika pengajian peringkat diploma di UiTM Rembau, Negeri Sembilan dia telah telah menerima Anugerah Naib Canselor.
“Anugerah ini menjadi pemangkin untuk saya terus cemerlang dalam dunia akademik.
“Saya akan terus berusaha dengan bersungguh-sungguh supaya saya menerima anugerah ini lagi untuk pengajian peringkat ijazah pula,” jelasnya.
Walaupun tidak begitu aktif dengan aktiviti persatuan di universiti, Arissa adalah pelajar yang cemerlang dan berdedikasi.

dan berdedikasi.
Dia bijak membahagikan masa antara tugasan akademik dan aktiviti santai. Pada masa lapang, Arissa gemar berlatih golf di ‘driving range’ bersama rakan-rakan atau berenang di kolam renang untuk melegakan tekanan.
“Sebagai seorang pelajar saya perlu tahu untuk membahagikan masa antara pelajaran dan juga aktiviti santai.
“Saya jenis yang teratur dan akan senaraikan apa yang perlu saya lakukan setiap hari.
“Kita sendiri yang mengaturkan masa kita dan saya akan mengimbangi kedua-duanya antara belajar serta aktiviti riadah,” ujarnya.
Sementara itu, Arissa juga tidak menolak untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi jika mendapat peluang. Ini kerana ibu bapanya amat mementingkan pendidikan.
Dia bercita-cita untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana dan mungkin sehingga Ijazah Doktor Falsafah (PhD) suatu hari nanti.
“Saya ada dua perancangan sama ada terus sambung belajar ke peringkat ijazah sarjana secara sepenuh masa dan habiskan dalam masa setahun ataupun sambung belajar sambil bekerja.
“Tetapi saya belum buat keputusan lagi yang mana satu akan dipilih kerana mahu fokus menyelesaikan pengajian peringkat ijazah terlebih dahulu,” katanya.
Sementara itu, selain menaruh impian untuk menjadi seorang pembaca berita, dia juga menyimpan hasrat untuk menjadi figura yang memberi pengaruh positif kepada masyarakat. Arissa mahu menjadi individu yang mempunyai aura tersendiri dan menjadi ‘role model’ yang dapat membina semangat serta inspirasi kepada orang lain terutamanya golongan muda.















