DEMI mendapatkan telefon bimbit Nokia N-Gage daripada kakaknya, selebriti ini memberanikan diri untuk menyahut cabaran makan sos cili kerana dia tidak suka makan pedas.
Meskipun tidak pernah merasa sos cili tetapi motivasi untuk mendapatkan gajet yang popular dalam kalangan remaja pada ketika itu membuatkan dia berjaya makan sos cili pedas yang diberikan kakaknya.
Kongsi pelakon, model dan pemuzik, Arfie Shah, 32, dia memang mengidamkan telefon bimbit berkenaan yang pada ketika itu sangat popular kerana fungsi permainan videonya.
“Nokia N-Gage merupakan gajet pertama saya dan ia menjadi salah satu peranti yang paling banyak memberi kenangan semasa kecil.
“Jika dahulu, sesiapa yang ada telefon bimbit ini memang orang akan pandang dia ‘cool’ dan bergaya kerana memang ketika itu ia sudah jadi trend terutama dalam kalangan remaja,” katanya ketika ditemui K-Tekno pada pelancaran drama Hilang Kasyorga di pawagam TGV, One Utama, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Tambahnya, kerana hadiah Nokia N-Gage tersebut dia dapat belajar cara mengendalikan telefon bimbit dengan usahanya sendiri.
Peranti tersebut juga merupakan gajet yang lama digunakan sebelum beralih kepada Nokia X-Press Music sekitar usia 15 tahun.
Ketika itu merupakan era telefon muzik yang menjadi trend dalam kalangan pengguna telefon bimbit.

Kata pelakon dalam drama Nuh dan Nayla itu, dia juga tidak ketinggalan mengikut trend semasa dan turut memuatkan pelbagai lagu kesukaan dalam telefon bimbitnya.
Ujar Arfie, selepas era telefon bimbit berakhir, dia juga beralih kepada telefon pintar dengan menggunakan iPhone
Akuinya, dia tidak pernah menggunakan Android dan lebih selesa dengan sistem Apple yang digunakan hingga kini.
“Saya memang guna produk Apple sejak beralih kepada telefon pintar dan pada saya, Apple sangat mudah untuk digunakan, malah ia banyak membantu dalam pekerjaan saya.
“Kini saya gunakan iPhone 13 Mini dan mungkin akan naik taraf lagi pada masa akan datang kerana fungsi iPhone sentiasa dikemas kini untuk model baharu,” ujarnya.

Selain telefon bimbit dan telefon pintar, Arfie juga tidak terlepas merasai era permainan video Playstation yang dimainkan bersama adik-beradiknya.
Katanya, bermain permainan video tersebut merupakan antara aktiviti yang mengeratkan hubungannya bersama adik-beradik semasa kecil dan menjadi antara rutin mereka pada masa lapang.
Berkongsi bagaimana teknologi membantunya dalam dunia lakonan Arfie berkata, ia sememangnya memberi kemudahan baginya untuk mendapatkan rujukan bagi menguasai watak.
“Untuk mempersiapkan diri dalam lakonan, saya banyak menggunakan gajet dari membaca skrip hingga menggunakan aplikasi seperti Netflix untuk mengkaji watak yang diterima.
“Begitu juga untuk naskhah kali ini iaitu Hilang Kasyorga, ia merupakan kali pertama saya menggalas watak antagonis dan untuk mempersiapkan diri saya banyak membuat kajian dengan menonton drama atau filem yang mempunyai karakter yang sama,” kongsinya.
















