fbpx

Lelaki bujang parah sengaja ‘cari fasal’ melompat ke landasan LRT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mangsa diberikan pertolongan cemas sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang bagi mendapatkan rawatan lanjut.

SUBANG JAYA – Seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun parah selepas dipercayai bertindak terjun ke landasan ketika sebuah tren Transit Aliran Ringan (LRT) menghampiri platform di Stesen Subang Alam, hari ini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada pukul 8.10 pagi.

“Siasatan awal mendapati mangsa yang masih bujang bertindak dengan sengaja terjun ke landasan LRT ketika tren sedang menghampiri stesen berkenaan dan dilanggar tren terbabit.

“Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, muka, tangan dan telinga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil semakan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dan keterangan saksi di lokasi turut mengesahkan tindakan mangsa yang secara jelas melompat ke landasan ketika tren sedang mendekati platform.

Susulan itu, mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung insiden berkenaan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau terus ke Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di talian 03-7862 7222 / 03-7862 7100.

Polis turut menasihatkan orang awam agar tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh mengancam keselamatan diri dan orang lain.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan perkhidmatan tren di Laluan Kelana Jaya mengalami gangguan apabila seorang individu menceroboh masuk ke landasan tren di Stesen LRT Subang Alam sekitar pukul 8.02 pagi.

Rapid Rail Sdn. Bhd. (Rapid Rail) dalam kenyataan berkata, pasukan penyelamat telah digerakkan ke lokasi untuk kerja-kerja menyelamat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI