fbpx

K2

Benarkah wanita pakai seluar jean tak tutup aurat?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SAYA ada menonton video ceramah berkenaan haram dan muflis di akhirat bagi wanita memakai seluar jean. Kenapa seluar jean diharamkan atau semua jenis seluar yang lain diharamkan? Adakah seluar tidak menutup aurat? Terima kasih.

JAWAPAN: Aurat merupakan sebahagian anggota badan yang diharamkan untuk dibuka atau dipamerkan, sama ada lelaki atau perempuan.

Dalam erti kata lain, aurat adalah anggota badan yang wajib ditutup dan disembunyikan kepada yang bukan mahram melihatnya.

Kewajipan ini adalah sebagaimana firman Allah SWT di dalam al-Quran: “Wahai anak-anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya.” (Surah Al-A’raf: 26)

Merujuk pada persoalan yang ditanyakan. Adakah haram bagi seorang wanita memakai seluar jean atau mana-mana jenis seluar yang lain?

Untuk menjawab persoalan ini, adalah lebih baik kita melihat asal-usul dan sejarah ringkas berkenaan isu ini. Melihat kepada ringkasan fakta sejarah terdahulu, seluar panjang merupakan pakaian yang dipakai oleh para pendekar wanita ketika bertempur pada zaman kekuasaan Greek. Sebuah artifak dijumpai dan dipercayai dibina pada tahun 470 Sebelum Masihi ditemui lakaran gambar pendekar wanita lengkap dengan busana perang dan berseluar panjang.

Bahkan, terdapat dua helai seluar yang dijumpai tertanam bersama di dalam perkuburan penunggang kuda dalam kalangan lelaki dan wanita di Tarim Basin, China yang dipercayai ditanam sejak tahun 1200 sehingga 900 Sebelum Masihi.

Jika diperhatikan, seluar telah lama wujud menerusi fakta-fakta yang telah dinyatakan. Pada waktu sama, di zaman Nabi SAW, seluar juga merupakan perkara yang dibincangkan sepertimana yang ternukil di dalam kitab-kitab fiqh.

Seperti contoh dalam sebuah hadis, Nabi SAW pernah terlibat dalam urusan jual beli seluar bersama seorang sahabat.

Hadis yang diriwayatkan oleh Malik bin Umair menyatakan bahawa, “Aku membeli daripada Rasulullah SAW seluar sebelum Hijrah, maka ditimbangkan dan diberikan kepadaku.”

Bagi seluar jean pula, sejarah utama penghasilan seluar panjang yang menggunakan jean adalah khusus untuk digunakan kepada pekerja lombong emas dalam melakukan kerja-kerja berat.

Ketika banyak lombong-lombong emas dibuka di California, Amerika Syarikat, fenomena tersebut telah menarik ramai pemuda untuk mencari emas. Namun begitu, mereka mempunyai masalah kerana seluar yang selalu digunakan sering kali terkoyak kerana kerja berat.

Atas masalah itu, seluar jean telah diciptakan oleh Levi Strauss dan Jacob Davis pada tahun 1873.

Kain jean adalah kain yang tebal dan amat sesuai untuk digunakan untuk membuat pakaian bagi kegunaan kerja-kerja berat serta lasak.

Lama-kelamaan, seluar jean telah menjadi tersohor dan diterima pakai oleh masyarakat sama ada lelaki atau wanita.

Seluar jean tidak haram dan harus untuk dipakai. Tetapi ia boleh menjadi haram sekiranya ia tidak mengikut piawaian dan batasan yang telah ditentukan syarak bagi lelaki dan wanita.

Seperti contoh bagi lelaki dan wanita, haram memakai seluar jean koyak di paha, betis atau di bahagian yang seorang Muslim perlu menutupnya.

Islam mengharamkan wanita memakai pakaian ketat yang boleh menampakkan bentuk badan atau pakaian yang nipis yang boleh kelihatan apa yang ada di sebalik pakaian itu.

Khususnya, pada tempat-tempat sulit yang boleh menimbulkan fitnah diri kepada lelaki yang bukan mahram.

Kesimpulannya, kami berpendapat bahawa harus bagi seorang wanita memakai seluar jean seperti yang telah dinyatakan.

Namun begitu, pemakaian seluar tersebut haruslah terhindar daripada fitnah. Begitu juga tidak menonjolkan dan memperlihatkan anggota badan seperti bahagian punggung yang mengundang perhatian hawa nafsu kepada mereka melihatnya.

Kami juga menasihatkan agar mengenakan baju atau jubah yang labuh, longgar serta mampu menutupi sehingga ke paras lutut bagi menjaga kemaslahatan pada pemakai dan mereka melihatnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI