GERIK – Operasi pembersihan di lokasi kemalangan mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terhenti sementara dua minggu lalu selepas beberapa individu dipercayai waris penuntut datang mencari barang mereka.
Wakil syarikat penyelenggaraan berkata, operasi pembersihan di lokasi nahas di Kilometer 53 Jalan Raya Timur Barat berhampiran Tasik Banding itu bagaimanapun disambung semula minggu lalu selepas kumpulan tersebut selesai mencari barang mereka yang hilang.
“Tempoh hari ada orang datang ke sana beritahu hendak cari barang hilang. Kami berhenti sementara bagi memenuhi permintaan mereka.
“Tetapi kini operasi pembersihan di kawasan nahas telah selesai sepenuhnya,”katanya kepada Kosmo! semalam.
Kosmo! pada 9 Jun lalu melaporkan 15 pelajar UPSI maut apabila bas yang mereka naiki hilang kawalan sebelum melanggar Perodua Alza lalu terbalik di Kilometer 53, Jalan Raya Timur Barat, berhampiran Tasik Banding di sini.
Ketika terbalik, sebahagian besi penghadang jalan telah tembus ke ruang kerusi penumpang bas persiaran itu.
Kejadian pukul 12.45 tengah malam itu berlaku ketika bas dalam perjalanan dari Jerteh, Terengganu membawa 42 pelajar pulang ke UPSI di Tanjung Malim selepas cuti Hari Raya Aidiladha.















