CANBERRA – Sebuah penerbangan Virgin Australia dari Melbourne ke Brisbane ditangguhkan hampir dua jam selepas seekor ular daun ditemukan melingkar di dalam ruang kargo sebelum berlepas, lapor portal berita MailOnline.
Kejadian berlaku dalam penerbangan VA337 di Lapangan Terbang Melbourne kelmarin.
Kru penerbangan yang melihat ular itu segera menutup pintu kargo bagi mengurungnya sebelum memanggil penangkap ular bernama Mark Pelley.
“Saya bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan daripada syarikat penerbangan Virgin Australia mengenai penemuan seekor ular di dalam pesawat,” kata Pelley.
Menurut Pelley, dia hanya mempunyai satu peluang untuk menangkap ular tersebut kerana saiznya yang kecil, menyebabkan ia mampu melarikan diri ke dalam mana-mana bahagian pesawat.
“Jika saya gagal menangkapnya, ia boleh masuk ke dalam pesawat. Saya terpaksa bergegas dan menangkapnya dengan cepat,” tambah Pelley.
Ular daun itu berjaya ditangkap selepas 30 saat sebelum ia diserahkan kepada pihak berkuasa. – AGENSI