fbpx
Robot AIREC yang diperkenalkan di Jepun baru-baru ini dilihat berpotensi menjadi solusi bagi penjagaan populasi menua Jepun yang semakin membimbangkan.

K2

Populasi tua naik drastik, robot AI solusi jaga warga emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERKHIDMATAN robotik dianggap normal dalam sektor pembuatan dan pengilangan. Bukan sahaja dapat menjimatkan masa dan menggandakan penghasilan, malah berupaya untuk mengurangkan tenaga pekerja.

Perkembangan penggunaan robotik ini kemudian makin berkembang ke sektor perubatan sekali gus dapat membantu kakitangan perubatan merawat pesakit khususnya warga emas dengan lebih efektif.

Kemunculan teknologi robotik kecerdasan buatan (AI) menerusi projek AIREC (AI Nurse for Elderly Care) baru-baru ini dilihat menjadi solusi realistik Jepun bagi membantu penjagaan warga emas.

Ditambah pula dengan peningkatan populasi menua yang drastik serta kekurangan penjaga manusia yang kian membimbangkan masyarakat setempat, kemunculan AI ini dilihat sebagai penyelesaian terbaik.

Robot AIREC dipercayai dapat membantu untuk menguruskan penjagaan keperluan harian warga emas seperti membawakan makanan, ubat, membantu menukarkan pakaian, pemeriksaan kesihatan (asas) dan memberi amaran kepada keluarga jika kesihatan terjejas.

Menurut laporan 1950.ai, projek robotik AIREC berkemampuan untuk memainkan peranan penting dalam mengurangkan jurang penjagaan warga emas.

Dengan menggunakan sensor canggih yang dikuasakan dengan AI, algoritma pembelajaran mesin dan sistem interaksi suara pintar, membuatkan AIREC mampu mengingatkan waktu makan dan ubat.

Di samping itu, AIREC juga dapat membantu pakar perubatan untuk memantau dan mengesan potensi kecederaan sekiranya pesakit terjatuh atau cedera.

Kajian oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjangkakan bahawa menjelang 2050, lebih satu per empat daripada populasi dunia akan terdiri daripada individu berusia 60 tahun ke atas.

Di negara-negara maju seperti Jepun, Korea Selatan, Jerman dan juga Hong Kong, beban penjagaan warga emas kini menjadi isu utama.

Kata Pengasas AIREC Michael Sung, AIREC direka bukan sekadar sebagai peranti, malah ia juga boleh dianggap sebagai teman kerana mempunyai kebolehan pemprosesan bahasa semula jadi (natural language processing atau NLP) kerana membolehkan ia memahami arahan suara asas.

“Robot AIREC boleh menjadi teman untuk mengingatkan jadual pengambilan ubat dan bertanyakan tentang tahap kesihatan secara masa nyata.

“Matlamat kami adalah untuk membolehkan proses penuaan berlaku dengan bermaruah dan berdikari, terutamanya dalam masyarakat berdepan kekurangan penjaga,” katanya di 1950.ai.

BUKAN sekadar mampu membantu pemantauan kesihatan, tetapi robot AIREC juga dapat berinteraksi dengan pesakit bagi mengatasi kemurungan.

Bukan sekadar bersifat penjaga atau membantu dalam soal kesihatan, robot AIREC juga menyediakan hiburan dan perbualan asas bagi memastikan pesakit dapat berinteraksi sekali gus mengelakkan rasa kesunyian mahupun kemurungan.

Fungsi tersebut menjadikan robot AIREC lebih signifikan di kawasan bandar besar terutama ahli keluarga yang sibuk bekerja atau tinggal berjauhan.

Projek AIREC mula dibangunkan sekitar 2023 sebagai tindak balas kepada krisis penjagaan warga emas global, terutamanya selepas impak pandemik Covid-19 yang memperlihatkan kekurangan jururawat, tekanan kepada sistem kesihatan dan peningkatan pesat populasi warga emas.

Menurut pakar Universiti Sains dan Teknologi Hong Kong (HKUST) Dr. Kelvin Lam, tidak menafikan bantuan teknologi menjadi pendekatan terbaik untuk membantu penjagaan warga emas pada masa kini.

“Robot AIREC bukan sekadar impian futuristik, tetapi membantu untuk keperluan mendesak memandangkan peningkatan populasi warga tua semakin meningkat.

“Teknologi AI juga boleh mengurangkan tekanan ke atas sistem kesihatan dan membantu warga emas mengekalkan kehidupan berdikari selama mungkin,” katanya.

Robot AIREC bukan sahaja dapat memberi sokongan fizikal, tetapi turut membantu menjaga emosi warga emas di samping mampu belajar corak rutin harian individu bagi mengenal pasti sekiranya berlaku perubahan mencurigakan.

Proses pengecaman wajah dan pembelajaran tingkah laku dengan teknologi AI termasuk situasi seperti tekanan darah tinggi secara tiba-tiba, perubahan corak tidur atau kurang selera makan menjadi petunjuk awal kepada masalah kesihatan lebih besar.

Biarpun teknologi yang digunakan sesuai untuk dipraktikkan pada masa kini, namun robot AIREC tidak terkecuali menerima kritikan, terutama melibatkan kebocoran data atau berlaku gangguan sistem data.

Kebergantungan melampau kepada mesin membuatkan masyarakat bimbang tenaga mahir akan berkurangan dan mengakibatkan golongan muda akan mengalami kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan.

Bagaimanapun, Dr. Kelvin juga berpendapat, kehadiran teknologi tetap tidak mampu menggantikan beberapa aspek penjagaan asas melibatkan sentuhan dan emosi manusia.

“Tiada teknologi dapat menggantikan empati manusia secara total. Biarpun robot ini dapat membantu, tetapi kesannya tidak sama jika berinteraksi dengan manusia.

“Kita perlukan keseimbangan antara teknologi dan hubungan sesama manusia yang sebenar. Kehadiran mereka cuba membantu dan bukan bermakna melenyapkan manusia,” katanya.

Seiring perubahan waktu, projek teknologi AIREC dilihat dapat mewakili satu paradigma baharu dalam dunia penjagaan kesihatan yang berorientasikan teknologi.

Tentu sahaja ia bukan bertujuan menggantikan penjaga manusia sepenuhnya, tetapi bertindak sebagai pelengkap yang mampu meningkatkan mutu hidup golongan warga emas.

Masyarakat juga perlu mengambil sikap terbuka dalam menerima perubahan dan bersedia menerima kehadiran teknologi sebagai sebahagian daripada norma baharu kehidupan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN