MIAMI – Jurulatih Real Madrid, Xabi Alonso memberi amaran kepada barisan pemainnya supaya tidak memandang rendah kemampuan Juventus menjelang pusingan 16 terbaik Piala Dunia Kelab (CWC) 2025 di Stadium Hard Rock awal pagi esok.
Walaupun dianggap sebagai pasukan pilihan pada pertemuan itu nanti, namun Real tidak mahu terlalu mendabik dada kerana menyedari kemampuan The Old Lady biarpun mereka dibelasah 2-5 oleh Manchester City sebelum ini.
Alonso berkata, mana-mana kejohanan akan menjanjikan aksi sukar sebaik sahaja saingan memasuki pusingan kalah mati selain menganggap keputusan pada peringkat kumpulan sudah tidak dijadikan ukuran.
“Keputusan ketika Juventus menentang Manchester City sebelum ini tidak ada sebarang makna lagi kerana perlawanan itu sudah pun berlalu. Semua orang tahu bahawa Juventus merupakan salah sebuah pasukan terbaik.
“Ingin saya tegaskan bahawa apabila kita sudah memasuki pusingan kalah mati, setiap perlawanan seolah-olah aksi final. Juventus merupakan pasukan yang memiliki sejarah hebat, jadi kami perlu berwaspada,” katanya.
Bekas pengendali Bayer Leverkusen itu juga masih mengharapkan penyerang berbisa, Kylian Mbappe boleh diturunkan ketika berdepan Juventus selepas pulih daripada masalah sakit perut.
“Sudah tentu kami memerlukan khidmat Mbappe. Saya harap dia boleh kembali dengan segera ke dalam pasukan walaupun tiada jaminan dia boleh diturunkan ataupun tidak ketika bertemu Juventus,” ujar Alonso. – AGENSI