SEMPENA cuti Tahun Baharu Cina 2026, Kwai Chai Hong di Kuala Lumpur tampil sebagai ruang pertemuan antara tradisi dan ekspresi diri.
Dihiasi dengan pemasangan seni Guardians of Legacy, lorong bersejarah tersebut diserikan dengan 12 arca bertemakan zodiak kalendar Cina.
Pastikan anda tidak melepaskan peluang mengunjunginya dan bergambar dengan arca pameran ini antaranya untuk OOTD (outfit of the day).
Uniknya, setiap arca dibangunkan dengan corak yang diinspirasikan daripada seni rakyat tradisional masyarakat Cina iaitu cloth tiger.
Cloth tiger diperbuat daripada kain yang diisi dengan kapas atau benang, menjadikannya lembut serta menyerupai bantal atau patung kecil.
Lazimnya, cloth tiger dihasilkan secara buatan tangan oleh ibu bapa atau datuk dan nenek sebagai lambang kasih sayang kepada anak atau cucu.
Ia dihadiahkan kepada kanak-kanak sebagai simbol perlindungan, membawa harapan untuk keselamatan, keberanian, kebijaksanaan dan kesihatan yang baik.
Pengasas Bersama Kwai Chai Hong, Zeen Chang berkata, cloth tiger dipilih sebagai inspirasi kepada tema tahun ini kerana ia merupakan warisan masyarakat Cina yang wajar dijadikan legasi berharga.
“Dalam kebanyakan keluarga Cina, ungkapan kasih sayang antara ibu bapa dan anak jarang dilafazkan, sebaliknya dirasai secara mendalam melalui tindakan dan pengorbanan.
“Itulah simbolik cloth tiger. Ibu bapa atau datuk dan nenek akan menjahit sendiri patung atau bantal kecil berbentuk harimau sebagai pelindung kepada anak atau cucu mereka.
“Setiap simbol pada cloth tiger tersebut mewakili doa golongan dewasa kepada generasi muda, sekali gus membuktikan dedikasi yang dicurahkan pada setiap jahitan.
“Di atas semangat itu, 12 arca zodiak kami diinspirasikan daripada amalan tradisi cloth tiger ini,” katanya kepada CitaRasa.
Pemasangan seni Guardians of Legacy di Kwai Chai Hong diadakan dengan kerjasama Guardian Malaysia.
Sementara itu, idea Guardians of Legacy dikonsepkan oleh pengasas bersama Kwai Chai Hong, Javier Chor.
Pemasangan seni menampilkan 12 arca zodiak iaitu tikus, lembu, harimau, arnab, naga, ular, kuda, kambing, monyet, ayam, anjing dan khinzir.
Biarpun diinspirasikan daripada cloth tiger, arca-arca ini diperbuat daripada resin yang merupakan material paling hampir dengan kain tetapi dalam masa sama bersifat telus air.
Arca didirikan dalam pelbagai bentuk, gaya dan skala dengan kuda sebagai arca utama setinggi lebih tujuh kaki (2.13 meter). Badan setiap arca zodiak dilukis dengan simbol-simbol, sekali gus menjadikannya cloth tiger gergasi.
Pada setiap arca juga, disertakan papan maklumat yang membantu pengunjung memahami makna di sebalik simbol-simbol tersebut.
Pameran Guardians of Legacy akan dibuka kepada orang ramai dari 30 Januari hingga 8 Mac ini, setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 12 tengah malam.
Menurut Javier, pemasangan seni berkenaan diharapkan dapat membantu orang ramai lebih memahami budaya masyarakat Cina.
“Apa yang mengilhamkan saya tentang cloth tiger ialah tiada satu pun daripadanya yang memiliki corak sama.
“Setiap satunya membawa motif dan doa berbeza, dibentuk oleh harapan ibu bapa terhadap anak mereka.
“Saya berharap pameran ini bukan sahaja menjadi pembuka mata kepada masyarakat umum, malah mampu menghidupkan semula amalan warisan ini dalam kalangan masyarakat Cina,” katanya.














