fbpx
PELBAGAI persembahan dikir barat pernah disertai Zulhazwan dan dia turut bercita-cita mempunyai kumpulannya sendiri kelak.

Zulhazwan pejuang muda dikir barat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DALAM dunia kampus yang semakin moden dan sibuk dengan pelbagai trend hiburan negara luar, siapa sangka masih ada anak muda yang gigih menjulang obor warisan budaya Melayu ke tengah pentas generasi baharu. 

Berpeluang menemu bual Mohamad Zulhazwan Jazli Rusdi, pelajar tahun dua jurusan Bahasa Inggeris dengan Komunikasi (Kepujian) di Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menjadikan dikir barat bukan sekadar minat tetapi perjuangan.

Berasal dari Bachok, Kelantan, minat Mohamad Zulhazwan Jazli, 22, terhadap seni tradisional ini mula bercambah sejak bersekolah tadika.

“Kampung nenek saya selalu ada persembahan seperti dikir barat, ulek mayang dan wayang kulit. 

“Saya tertarik dengan irama dan semangat dalam nyanyian itu,” katanya memulakan bicara bersama K-Kampus.

Pun begitu akuinya, pengaruh terbesar datang dari bapanya sendiri, seorang bekas ahli kumpulan dikir barat yang sangat aktif suatu ketika dahulu.

Kini, dia yang mesra disapa sebagai Zulhazwan aktif sebagai ‘awok-awok’ dalam kumpulan Dikir Barat Arjuna Warisan dan juga bertindak sebagai koordinator pergerakan serta jurulatih suara. 

“Saya ada suara lantang dan badan fleksibel, jadi memang sesuai dengan peranan awok-awok.

“Walaupun berkemampuan bermain alat muzik tetapi saya lebih selesa kekal di barisan hadapan persembahan, memacu semangat kumpulan melalui suara dan gerakan,” katanya.

Berkongsi pengalaman manis, tidak lain tidak bukan apabila melihat reaksi penonton setiap kali persembahan berlangsung. 

“Kadang-kadang mereka nampak keliru pada awalnya tetapi bila persembahan bermula mereka tersenyum, kagum dan terhibur. 

“Itu yang buat saya bangga dan terus bersemangat bergiat aktif dalam dikir barat,” katanya yang mengidolakan penyanyi dikir barat terkenal, Halim Yazid sebagai sumber inspirasi.

Namun, perjalanan dalam seni ini tidak mudah. Kekangan masa dan komitmen akademik sering menjadi cabaran utama buatnya.

“Latihan dikir barat memang memerlukan tenaga dan stamina yang tinggi. 

“Tetapi lama kelamaan saya belajar urus masa dan tenaga dengan lebih baik,” ujarnya.

Melalui penglibatannya, Zulhazwan mengutip pelbagai nilai daripada semangat kerjasama hingga disiplin dan kecintaan kepada warisan Melayu. 

Namun begitu, dia akui bahawa minat kepada seni tradisional semakin tenggelam dalam kalangan remaja. 

“Ramai lebih tertarik dengan muzik ‘viral’ atau budaya luar seperti K-Pop. 

“Tambahan pula, tidak ramai yang dedahkan dengan seni seperti dikir barat di sekolah atau komuniti,” jelasnya.

Lebih menyedihkan, dia sendiri pernah dipandang rendah oleh sesetengah individu kerana minatnya terhadap seni tradisional itu.

“Ada yang anggap minat saya ni tak ‘cool’, tetapi saya tidak kisah sebab tahu nilainya besar dan seni ni perlu dipertahankan,” ujarnya.

Ditanya harapannya, Zulhazwan mahu melihat lebih banyak ruang dan inisiatif bagi mengangkat dikir barat ke mata generasi muda. 

“Saya harap sekolah, universiti dan komuniti buka lebih banyak peluang. 

“Gabungkan dengan elemen moden pun tidak mengapa, asalkan seni ini terus hidup dan ampuh,” katanya.

Tambahnya, dia juga bercita-cita menubuhkan kumpulan dikir barat sendiri dan mahu membawa persembahan ke peringkat lebih tinggi.

Sebagai langkah awal, dia mencadangkan agar persembahan dikir barat dijadikan sebahagian daripada acara universiti seperti minggu orientasi dan malam kebudayaan. 

“Boleh juga buat bengkel santai atau kelas asas. Bila pelajar rasa selesa dan tidak malu, barulah mereka terbuka hendak cuba,” katanya penuh harapan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN