ORLANDO – Jurulatih Juventus, Igor Tudor mengakui anak-anak buahnya belum mencapai tahap kualiti Manchester City selepas tewas 2-5 dalam aksi terakhir Kumpulan G saingan Piala Dunia Kelab awal pagi tadi.
Bagaimanapun, kekalahan tersebut tidak menjejaskan status The Old Lady yang sudah layak ke pusingan 16 terbaik lebih awal hasil kemenangan ke atas Wydad AC dan Al Ain sebelum ini.
Kata Tudor, barisan pemain cuba untuk memberi tekanan ke atas The Citizens tetapi jurang perbezaan ketika ini begitu ketara terutama selepas membuat keputusan untuk merehatkan beberapa tonggak utama.
“Kualiti City agak keterlaluan buat pasukan kami ketika ini. Tahniah diucapkan kepada mereka kerana berjaya mendominasi perlawanan sepenuhnya dan tiada cara lain buat pasukan selain bertahan.
“Kami juga telah merombak kesebelasan utama dan mereka sudah berikan yang terbaik. Namun, saya rasa agak sukar untuk bersaing dengan City yang memiliki bajet besar dan ada ramai pemain berkualiti,” katanya.
Sementara itu, Tudor mengakui pasukannya perlu menggandakan usaha apabila dijadualkan bertemu satu lagi kelab pilihan, Real Madrid pada pusingan 16 terbaik minggu depan.
“Secara peribadi, saya masih rasakan City adalah kelab terbaik dunia sejak 10 tahun lepas tetapi Real juga ada kualiti tersendiri. Justeru, kami perlu sedia dengan segala kemungkinan,” katanya. – AGENSI