PETALING JAYA – Keluarga terdekat penuntut universiti yang ditemui mati dipercayai di bunuh di sebuah rumah di Cyberjaya di sini kelmarin menuntut keadilan supaya pelaku yang dikaitkan dengan berkenaan dapat diberkas dengan segera.
Bapa saudaranya, Datuk Rajpal Singh berkata, keluarga masih lagi terkejut dengan insiden menimpa penuntut tersebut, Maniishapriet Kaur, 20, yang dikenali sebagai Nisha.
“Kami amat sedih dan terkejut dengan apa yang telah berlaku. Lebih memilukan apabila kejadian ini berlaku di kawasan perumahan yang sepatutnya mempunyai sistem keselamatan yang ketat,” katanya ketika ditemui di Shamshan Bhoomi Hall, di sini hari ini.
Menurutnya, pihak keluarga turut dimaklumkan bahawa terdapat beberapa kelemahan dari segi pengurusan keselamatan seperti televisyen litar tertutup (CCTV) yang didakwa tidak berfungsi ketika kejadian.
“Kami percaya pihak pengurusan universiti perlu lebih bertanggungjawab dalam menjaga keselamatan para penuntut, apatah lagi apabila satu nyawa telah hilang akibat kecuaian yang mungkin boleh dielakkan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan dengan telus serta menyegerakan proses mendapatkan keadilan bagi mangsa.
“Kami tidak mahu membuat sebarang spekulasi, tetapi kami mahu kebenaran dan keadilan untuk Maniishapriet. Kami percaya PDRM akan menyiasat dengan adil dan memastikan individu yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan,” tambahnya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang penuntut wanita sebuah universiti swasta di Cyberjaya ditemui maut dalam rumahnya dipercayai dibunuh pagi kelmarin.
Mangsa berusia 20 tahun berasal dari Sarawak itu ditemui maut oleh rakan serumah dengan kesan kecederaan di kepala kira-kira pukul 10.28 pagi di sebuah rumah di kawasan perumahan di Cyberjaya. – KOSMO! ONLINE