PETALING JAYA – Hampir 4.7 bilion percubaan penipuan dalam talian direkodkan sejak 2022 sekali gus ia satu angka yang membimbangkan dan menuntut tindakan tegas serta bersepadu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, angka berkenaan dimaklumkan semasa beliau mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) tengah hari tadi bagi meneliti langkah segera memperkukuh Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC).
Menurutnya, atas keperluan ini, kerajaan bersetuju untuk memperluas skop fungsi NSRC agar merangkumi semua bentuk jenayah siber.
“Di samping itu menubuhkan rangkaian respons 24 jam yang digerakkan secara menyeluruh oleh pelbagai agensi kerajaan.
“Pengukuhan NSRC juga akan dilaksanakan menerusi gabungan kepakaran tempatan, penyelarasan rentas agensi dan pertambahan sumber manusia,” katanya pada hantaran Facebook hari ini.
Beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyegerakan pelaksanaan struktur baharu NSRC, termasuk memperjelas peranannya agar mudah difahami dan diakses oleh rakyat.
“Pendekatan ‘no wrong door’ turut diguna pakai bagi memudahkan proses aduan dan bantuan.
“Saya menggesa semua agensi untuk bertindak lebih proaktif dan berpandangan jauh dalam memberikan perlindungan menyeluruh kepada rakyat.
“Pada masa sama, kesiapsiagaan benteng siber negara mesti terus dipertingkat baik di peringkat domestik mahupun antarabangsa,” katanya. – KOSMO! ONLINE