KUALA TERENGGANU – Maritim Malaysia (APMM) memandang serius tindakan seorang pengusaha membenarkan penumpangnya yang tidak memiliki lesen sah mengendalikan bot pelancong baru-baru ini.
Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata, siasatan awal percaya perbuatan tersebut berlaku di sekitar perairan Pulau Redang, Kuala Nerus dan Pulau Perhentian, Besut.
“Siasatan awal mendapati wujud unsur kecuaian apabila pemandu bot tersebut membenarkan penumpang mengendalikan bot tanpa sebarang kelayakan.
“Selain itu, beberapa penumpang juga dibiarkan tidak memakai jaket keselamatan,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu tular video di media sosial memaparkan seorang penumpang wanita dibenarkan untuk mengendalikan bot di perairan Terengganu.
Hamiludin berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab pengendali bot tersebut bukan sahaja melanggar undang-undang, malah mendedahkan penumpang kepada risiko kemalangan.
Beliau bertegas bot penumpang seharusnya dikendalikan oleh individu berlesen dan terlatih.
“Pengusaha bot berkenaan akan dipanggil bagi membantu siasatan. APMM tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE