fbpx

Nasib pelajar UPSI, bapa OKU ibu pula sakit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tuan Adnan (kiri) bersama anaknya, Tuan Muhammad Adham di rumah mereka di Kampung Alor Keladi, Besut semalam.

BESUT – Seorang lelaki warga emas orang kurang upaya (OKU) penglihatan menerima ujian berganda apabila anak lelakinya menjadi mangsa nahas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak pada 9 Jun lalu, isterinya pula sakit di hospital.

Tuan Adnan Nik Him, 60, berkata, tangan kiri anaknya, Tuan Muhammad Adham, 21, patah selain menerima 24 jahitan akibat insiden yang turut meragut nyawa 15 pelajar UPSI lain berkenaan.

Dia berkata, isterinya, Zunidah Ibrahim, 51, yang juga OKU penglihatan pula dirawat di Hospital Besut di sini disebabkan komplikasi penyakit buah pinggang tahap enam, tekanan darah tinggi dan diabetes.

“Sewaktu saya dan isteri mendapat berita kemalangan me­nimpa anak (Tuan Muhammad Adham), kami terpaksa meminta jasa baik adik lelaki saya untuk ke Perak sebagai wakil waris.

“Hati memang risau tetapi saya sukar bergerak kerana OKU penglihatan dan fizikal. Waktu itu, saya hanya mampu berdoa dan sabar menunggu berita tentang anak daripada adik saya,” katanya ketika ditemui di Kampung Alor Keladi di sini semalam.

Tuan Adnan berkata, tahap kesihatan isterinya, Zunidah semakin merosot dan terpaksa dimasukkan ke hospital pada hari sama anaknya, Tuan Muhammad Adham dibenarkan keluar dari wad Hospital Taiping, 13 Jun lalu.

Dia berkata, semua ujian tersebut diterimanya dengan reda dan berharap isteri dan anak lelaki­nya itu cepat sembuh.

Sementara itu, Tuan Muhammad Adham berkata, dia hanya mengetahui ibunya dimasukkan hospital sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumah dari Hospital Taiping.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Melayu itu berkata, biar kesakitan akibat pembedahan memasukkan besi dalam tangan kiri masih terasa, dia menggagahkan diri melawat ibunya di wad pada keesokan harinya.

“Waktu itu, fikiran dan pe­rasaan saya bercampur baur. Saya cuma mahu bertemu dengan ibu.

“Buat masa ini, saya tidak akan melepaskan peluang melawat ibu yang masih dirawat di wad hospital setiap kali menjalani rawatan susulan di Klinik Kesihatan Jerteh berhampiran,” katanya.

Tuan Muhammad Adham berkata, biarpun masih trauma dengan insiden menimpa pada 9 Jun lalu, dia semakin sembuh dan jahitan tangan kirinya dija­dual dibuka pada Rabu depan.

Jika ada ingin membantu keluarga ini boleh hubungi Tuan Adham di talian 013 3490649 atau no akaun Bank Islam 13035020925516.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI