GOMBAK – Seorang wanita warga asing ditemui maut di sebuah rumah kedai di Bandar Tasik Puteri, Rawang dipercayai menjadi mangsa pembunuhan semalam.
Dalam kejadian pukul 12.34 tengah hari itu, mayat wanita berusia 37 tahun itu ditemukan terbaring di atas katil dalam sebuah bilik.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, siasatan mendapati mangsa yang bekerja sebagai pembantu kedai makan telah tinggal di rumah tersebut selama beberapa bulan.
Menurutnya, pemeriksaan fizikal pada badan mangsa menunjukkan tiada kesan kecederaan dan unsur jenayah.
“Bagaimanapun, hasil bedah siasatan yang dijalankan Forensik Hospital Sungai Buloh mendapati mangsa mengalami kecederaan retak di kepala disyaki dipukul objek tumpul dan lemas disyaki akibat ditekap,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Noor Ariffin berkata, susulan itu, satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah Asisten Superintendan Puteri Noor Asiah Mohd. Sharif di talian 012-6718024. – KOSMO! ONLINE