fbpx

Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli perlu dibina baharu, bukan ditampal 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SAARANI Mohamad (tengah) melihat pameran peserta dalam Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2025 di Ipoh, Perak hari ini.-FADZIL ZAINOL/KOSMO!

IPOH- Kerajaan negeri ini sudah memaklumkan kepada Perdana Menteri mengenai keperluan untuk menaik taraf Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli ekoran pelbagai perkembangan mutakhir ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perkara itu dimaklumkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika beliau hadir ke negeri ini minggu lalu.

Katanya, beliau dan Anwar memahami akan keperluan tersebut, namun mengakui ia melibatkan kos yang tinggi.

Saarani berkata, JRTB yang berusia lebih 40 tahun kini dimamah usia dan tidak boleh diselesaikan dengan hanya kaedah menampal kerosakan.

“Perlu dilihat semula tentang jajaran dan pelebaran. Menaik taraf ini bukan setakat tampal, tetapi keperluan membina semula. Struktur yang ada sudah lama dan sehingga sebahagian kerosakan itu boleh menampakkan lantai.

“Jika sekadar tampal, mungkin tidak mencukupi. Kita faham ia memerlukan peruntukan yang besar,” katanya selepas Majlis Penutup Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2025 di sini hari ini.

JRTB dibuka pada 1 Julai 1982 setelah 12 tahun mengambil masa untuk disiapkan dan sering berdepan ancaman bersenjata komunis yang masuk menerusi hutan sempadan Thailand sehingga penghujung 1980-an.

Jalan itu mencuri perhatian ekoran kes kematian anak gajah yang dilanggar lori dan tragedi meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini.

Saarani berkata, kerajaan negeri telah mengarahkan beberapa Exco untuk mengkaji dan mencadangkan pelan menaik taraf JRTB dan Hospital Gerik sebelum diserahkan kepada Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Kesihatan.

“Langkah ini penting, jika tidak mangsa kemalangan terpaksa dibawa ke Taiping atau Ipoh. (Perjalanan) Dari Gerik ke Ipoh mengambil masa dua jam,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI