KLANG – Seorang lelaki maut ditembak di hadapan sebuah kedai motosikal di Jalan Mahang di sini, petang ini.
Difahamkan, ketika kejadian, mangsa dipercayai warga tempatan berada dalam kenderaan pacuan empat roda yang diparkir di hadapan premis tersebut.
Suspek kemudian melepaskan tembakan dan mangsa maut di tempat kejadian. Difahamkan terdapat enam kesan tembakan pada cermin kenderaan tersebut.
Tinjauan Kosmo! mendapati lokasi kejadian itu dikawal anggota polis dan ditutup dengan pita keselamatan. Setakat ini pihak berkuasa masih menjalankan siasatan di lokasi kejadian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, kenyataan akhbar mengenai kejadian tersebut akan dikeluarkan dalam masa terdekat. – KOSMO! ONLINE