fbpx
Ahli keluarga sanggup bermusuhan dan bertikam lidah demi berebut harta pusaka. - GAMBAR JANAAN AI

‘True color’ adik-beradik bila soal harta pusaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Isu pembahagian tanah pusaka sering kali menjadi punca perbalahan dalam kalangan adik-beradik, terutama apabila harta yang ditinggalkan tidak dibahagikan secara jelas.

Tanah pusaka merupakan antara bentuk harta yang paling berharga, khususnya bagi keluarga di luar bandar yang bergantung kepada tanah sebagai sumber pendapatan atau tempat tinggal, namun begitu, tanpa perancangan dan komunikasi yang baik, tanah pusaka boleh berubah menjadi punca perpecahan keluarga.

Seringkali kita dengar kisah di mana adik-beradik yang dahulunya akrab menjadi bermusuhan selepas kematian ibu bapa.

Punca utama biasanya kerana salah faham mengenai hak milik, kuasa mengurus, dan nilai harta yang ditinggalkan. Ada yang mendakwa tanah itu haknya kerana dia tinggal di situ sejak dahulu, manakala yang lain pula menuntut hak sama rata.

Kebanyakan masyarakat Melayu masih kurang pendedahan tentang prosedur rasmi dalam pembahagian harta pusaka. Ramai yang tidak membuat wasiat, menyebabkan tanah ditinggalkan tanpa arahan jelas. Ini menjadikan proses pembahagian bergantung kepada hukum faraid dan memerlukan campur tangan Mahkamah Syariah serta Pejabat Pusaka Kecil.

Dalam sistem faraid, setiap waris mempunyai hak yang telah ditetapkan berdasarkan hubungan kekeluargaan. Namun begitu, realitinya ramai yang tidak bersetuju dengan pembahagian ini, khususnya jika ada waris yang merasa mereka lebih “berhak” atas alasan tertentu seperti menjaga ibu bapa semasa sakit atau menanggung kos perubatan.

Tambahan pula, sikap tamak dan tidak mahu bertolak ansur antara ahli keluarga boleh memburukkan lagi keadaan. Ada yang sanggup membawa kes ke mahkamah, memutuskan hubungan darah demi sepetak tanah. Keadaan ini bukan sahaja menyusahkan proses pembahagian, tetapi turut mencemarkan keharmonian keluarga.

Salah satu punca utama perbalahan adalah kegagalan berbincang secara terbuka. Ramai yang menyimpan rasa tidak puas hati dan membiarkan perkara berlarutan sehingga menjadi konflik besar.

Ada juga yang mengambil tindakan sendiri, seperti menjual tanah tanpa persetujuan waris lain, menyebabkan masalah menjadi semakin rumit.

Sebagai langkah pencegahan, adalah penting bagi ibu bapa merancang pembahagian harta semasa mereka masih hidup. Menyediakan wasiat yang sah boleh mengelakkan pertikaian. Wasiat bukan sahaja menunjukkan niat sebenar pewaris, tetapi juga memudahkan proses pembahagian selepas kematian.

Selain itu, pendidikan tentang undang-undang pusaka juga perlu dipertingkatkan. Ramai yang masih tidak tahu saluran rasmi yang perlu diambil dan bergantung kepada khabar angin atau nasihat orang luar yang tidak bertauliah. Ini membuka ruang kepada penipuan dan salah urus.

Peranan pihak berkuasa seperti Pejabat Tanah, Mahkamah Syariah, dan Jabatan Agama juga amat penting dalam memberikan panduan dan sokongan. Mereka boleh menganjurkan sesi taklimat atau klinik harta pusaka untuk mendidik masyarakat tentang hak dan tanggungjawab masing-masing.

Sikap saling menghormati dan bertimbang rasa dalam kalangan adik-beradik juga amat penting. Setiap individu perlu sedar bahawa harta bukanlah segalanya, dan hubungan kekeluargaan jauh lebih bernilai. Janganlah kerana sepetak tanah, kasih sayang yang dibina sejak kecil musnah begitu sahaja.

Bagi waris yang telah mendapat hak masing-masing, mereka juga perlu bertanggungjawab menjaga tanah pusaka dengan baik. Elakkan membiarkan tanah terbiar atau dijual kepada pihak luar tanpa perbincangan keluarga. Tanah pusaka adalah simbol warisan dan sejarah keluarga yang perlu dipelihara.

Sebenarnya isu pembahagian tanah pusaka adalah ujian besar dalam hubungan kekeluargaan. Ada waris yang kelihatan tenang boleh tertukar sifat menjadi tamak haloba kerana pusaka.

Ada dendam yang bertahun-tahun disimpan boleh diungkit semula yang akan menyukarkan lagi urusan pembahagian tanah pusaka.

Ia memerlukan komunikasi, kefahaman hukum, dan sikap bertolak ansur. Tanpa semua ini, tanah yang sepatutnya menjadi rahmat boleh bertukar menjadi racun dalam kehidupan adik-beradik.

Tanpa komunikasi yang baik dan tolak ansur yang baik, ikatan kekeluargaan yang dibina bertahun-tahun boleh hancur begitu sahaja dan tanah pusaka itu terbiar selama bertahun-tahun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN