SUNGAI PETANI – Seorang lelaki berusia lingkungan 40-an pengsan ketika dia dikatakan sedang menunggu pertuduhan bagi satu kes dihadapinya di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 9.45 pagi tadi sebelum mahkamah mula bersidang dan ia disedari petugas mahkamah dan anggota polis di situ.
Kakitangan mahkamah kemudian memindahkan lelaki terbabit keluar untuk diberikan rawatan awal sebelum bertindak menghubungi ambulans.
Dalam masa kira-kira 15 minit, lelaki itu sedar kembali sebelum dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim, di sini untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Pendakwaan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu melakukan ugutan jenayah yang dikatakan dihadapi lelaki terbabit akan ditetapkan pada tarikh lain. – KOSMO! ONLINE