MENGHIBURKAN. Itulah luahan rasa yang dapat penulis berikan untuk keseluruhan persembahan teater tradisional Mek Mulung yang dipersembahkan oleh sekumpulan pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).
Malah, suasana di Dewan Orkestra, Aswara, Kuala Lumpur diserikan dengan gelak tawa penonton tatkala watak Awang Selamat dan Awang Pengasuh tampil memainkan peran masing-masing dalam persembahan tersebut.
Persembahan yang berlangsung hampir dua jam itu langsung tidak terasa kerana semua pelakon teater membawakan watak masing-masing dengan baik untuk cerita Putera Cahaya Bulan.
Kisah Putera Cahaya Bulan adalah salah satu naskhah klasik dan sangat penting dalam teater tradisional Mek Mulung.
Izatul Husna Samsuri, 21, yang memegang peran sebagai Puteri Nang Mara berkata, dia gembira kerana terpilih untuk membawakan watak utama dalam cerita tersebut.
Menurutnya, persembahan tersebut juga dinilai kerana ia merupakan satu subjek wajib yang perlu diambil oleh semua pelajar pengajian ijazah sarjana muda dan diploma di Aswara.
“Untuk memegang watak sebagai Puteri Nang Mara saya sendiri perlu hadiri sesi uji bakat pemilihan watak terlebih dahulu.
“Saya bersyukur kerana mendapat peluang untuk membawakan watak utama setelah sesi uji bakat diadakan,” katanya yang mengambil Ijazah Sarjana Muda Seni Tari di Aswara.
Untuk membawakan watak sebagai Puteri Nang Nara dalam persembahan teater itu bukanlah sesuatu yang mudah dan dia berdepan cabaran yang tersendiri.
Ini kerana di dalam persembahan teater tersebut, Izatul Husna bukan hanya perlu berlakon, malah dalam masa yang sama harus menari dan menyanyi juga dalam masa yang sama.
“Saya perlu menguasai semua aspek ini bagi menjayakan watak yang saya bawakan ini.
“Kebetulan sebelum ini saya telah belajar teater di Sekolah Seni Malaysia selama enam tahun sebelum menyambung pengajian di Aswara, jadi saya mempunyai sedikit asas untuk persembahan sekali gus menjayakan persembahan teater tradisional ini,” jelasnya.
Mek Mulung merupakan salah satu teater tradisional Melayu yang berasal dari Kampung Wang Tepus, Kedah, Malaysia.
Persembahan Mek Mulung menggabungkan unsur lakonan, nyanyian, tarian dan muzik dalam satu persembahan yang unik.
Lebih menarik, Mek Mulung telah diiktiraf sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Pensyarah teater tradisional Mek Mulung, Norfazira Malik berkata, Mek Mulung mempunyai persamaan dengan beberapa teater tradisional yang lain, tetapi ia mempunyai ciri tersendiri.
Menurutnya, persembahan Mek Mulung biasanya dibuka dengan ritual, bertabuh dan diikuti dengan lagu-lagu pembukaan bertabik dan beberapa jenis tarian yang merupakan struktur wajib dalam persembahan.
“Akan tetapi, di era globalisasi kini, persembahan Mek Mulung tidak lagi menggunakan unsur ritual, tetapi lebih berkonsepkan kepada persembahan.
“Mek Mulung juga mempunyai alat muzik yang wajib iaitu serunai, gendang ibu, rebana anak, semborong, gong, canang dan kecerek,” jelasnya.
Persembahan Mek Mulung juga mempunyai beberapa naskhah yang sering dipentaskan dan kesemua cerita ini telah dimainkan sejak zaman dahulu lagi.
Persembahan Mek Mulung juga sangat dekat dengan penonton kerana setiap persembahan mempunyai unsur komedi dan boleh mengangkat isu-isu semasa.
“Jadi, hal ini dapat menarik minat generasi kini untuk mengenali teater tradisional Mek Mulung.
“Tambah pula, Mek Mulung telah diiktiraf sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara oleh UNESCO pada tahun 2023,” kata Norfazira.
Norfazira menjelaskan, persembahan tersebut merupakan penilaian bagi pelajar-pelajar ijazah sarjana muda yang diwajibkan mengikuti kursus teater tradisional dengan salah satunya Mek Mulung.
“Di Aswara, kursus wajib ini dibahagikan kepada lima subjek yang merangkumi Mek Mulung, Randai, Bangsawan, Wayang Kulit dan Mak Yong.
“Setelah dibahagikan kepada lima subjek, jumlah pelajar ijazah sarjana muda bagi semester ini yang terlibat dengan kelas dan persembahan Mek Mulung adalah seramai 34 orang dan terdiri daripadaa kesemua fakulti di Aswara.
“Bagi Mek Mulung, para pensyarah bersepakat memilih salah satu naskhah Mek Mulung yang terkenal iaitu Putera Cahaya Bulan untuk dipersembahkan,” katanya.
Menerusi kursus wajib itu, pelajar perlu mengenali salah satu teater tradisional di negara ini seiring dengan matlamat Aswara iaitu ‘Melangkah Bersama Tradisi’.
Ini bagi memastikan teater tradisional di negara kita ini tidak luput dek zaman dan sentiasa akan ada penggiatnya pada masa hadapan.
Norfazira menjelaskan, persiapan yang diambil untuk menjayakan persembahan itu berlangsung selama tiga semester.
Menurutnya, bagi semester pertama, para pensyarah akan mengajar perkara-perkara asas dalam Mek Mulung.
“Untuk semester kedua, setelah para pelajar sudah faham akan struktur dan perkara asas, kami mula memberikan naskhah dan membuat satu produksi berskala kecil.
“Di situ la bermulanya pembahagian peranan masing-masing dan kami juga menjalankan sesi uji bakat untuk memilih watak-watak mengikut kesesuaian cerita dan kemampuan pelajar. Pada semester ini juga, pelajar dinilai berdasarkan kemajuan kerja dan persembahan separuh cerita yang dibuat dalam skala kecil di dalam kelas sahaja,” terangnya.
Tambahnya, pada semester ketiga para pelajar diminta membuat satu persembahan di akhir minggu pembelajaran.
Kesemua yang terlibat dalam persembahan tersebut mempunyai cabaran yang tersendiri terutama pelajar-pelajar yang datang dari Fakulti Seni Halus, Penulisan dan Filem serta Animasi.
Malah, ada antara mereka langsung tidak pernah bermain muzik, berlakon, menari, menyanyi dan membuat persembahan di hadapan khalayak.
Kata Norfazira, cabaran lain yang dihadapi mereka adalah dari segi masa.
“Apabila waktu persembahan semakin hampir, semestinya kami memerlukan latihan yang lebih.
“Untuk mengumpulkan semua pelajar yang terdiri dari semua jurusan ini antara cabaran yang sangat sukar,” katanya.
Tambahnya, disebabkan semangat yang sangat luar biasa pelajar-pelajar ini, semuanya berjalan dengan lancar.
Sementara itu, Dekan Seni Pentas Tradisional Aswara, Mohd. Kamarulzaman Taib berkata, setiap tahun akan ada pelajar yang membuat persembahan untuk tujuan penilaian.
Menurutnya, di Aswara, pelajar ijazah sarjana muda dan diploma wajib mengambil kursus teater tradisional dan wajib untuk lulus bagi menyempurnakan pengajian mereka.
“Untuk persembahan ini kita namakannya sebagai Festival Buka Panggung di mana akan ada lima teater tradisional iaitu Mek Mulung, Randai, Bangsawan, Wayang Kulit dan Mak Yong akan dipersembahkan pada setiap malam yang berbeza oleh para pelajar.
“Kita ada serampang dua mata untuk program ini, pertama untuk penilaian kursus yang para pelajar ambil dan kedua adalah untuk menjalankan peranan Aswara sendiri untuk mempromosikan seni teater tradisional,” ujarnya.
Melestarikan seni teater tradisional adalah penting untuk agenda nasional.
Jika tidak dilestarikan tidak mustahil seni teater tradisional negara ini akan hilang kerana tiada pewaris yang akan meneruskannya.
“Ini adalah usaha Aswara untuk agenda nasional untuk pewarisan dan kelestarian seni tradisional bagi masa hadapan.
“Kita sendiri tidak tahu untuk masa hadapan berapa ramai yang akan pegang dan meneruskan seni ini, oleh itu usaha sebegini penting dalam meneruskan waris yang memperjuangkan seni warisan tradisional kita,” katanya.














